Kuala Lumpur – Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan disahkan bertanding di kerusi Parlimen Rembau menggantikan Khairy Jamaluddin yang dipindahkan ke kerusi Parlimen Sungai Buloh.
Khairy sebelum ini menyandang kerusi Rembau selama tiga penggal sejak 2008 manakala Mohamad sebelum ini hanya bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sejak 2004.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Khairy yang juga menteri kesihatan mempertahankan kerusi Rembau selepas meraih majoriti 4,364 undi menewaskan calon PKR, Roseli Abdul Ghani yang meraih 31,732 undi dan Mustafa dari PAS yang memperoleh 6,028 undi.
Ini bermakna, Khairy akan bertanding menentang Timbalan Ketua Penerangan PKR, R Ramanan yang menggantikan penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa.
Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan pula akan menentang Juftri Johar, antara “tokoh” yang dipertaruhkan PKR di Parlimen Rembau.
Sementara itu, pendakwah bebas Mohd Kazim Elias pula diumumkan bertanding di kerusi Parlimen Larut yang sebelum ini dimenangi oleh Hamzah Zainudin ketika beliau masih mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
Hamzah kini merupakan setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.