Kuala Lumpur – Idea untuk menghasilkan sebuah kabinet alat pensterilan yang dikenali sebagai Ultraviolet Cabinet (UVCab) telah membawa tuah kepada pasukan yang terdiri daripada 10 ahli dari Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor, Pahang.
Menurut satu kenyataan semalam, penyertaan tersebut telah dipilih sebagai pemenang tempat pertama edisi terkini pertandingan ‘DIY Made Simple’.
Program DIY Made Simple adalah sebuah pertandingan seluruh negara yang diadakan setiap tahun dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan membina budaya kelestarian dalam kalangan belia di Malaysia.

Pertandingan tersebut dianjurkan oleh peruncit perkakas rumah MR D.I.Y., dengan usaha sama Universiti Malaya (UM).
Semasa mengumumkan pasukan yang menang pada majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Universiti Malaya semalam, Pengerusi Kumpulan MR D.I.Y.
Datuk Azlam Shah Alias berkata, di MR D.I.Y., mereka sentiasa berusaha untuk menambah nilai kepada komuniti di mana sahaja mereka beroperasi.
“Pertandingan DIY Made Simple membolehkan kami memupuk budaya kelestarian dalam kalangan anak-anak muda di Malaysia, dengan mengilhamkan idea-idea baharu untuk mengguna, mengitar, dan menjana semula.
“Impak program ini dilihat amat besar berikutan usaha sama yang berharga dan amat bermanfaat bersama UM dan pasukan UMCares.
“Sejak 2017, kami telah menyaksikan cetusan pelbagai idea inovatif dan projek kelestarian yang telah memberi manfaat kepada ekosistem sekolah-sekolah di negara ini.
“Kami amat berbesar hati mengumumkan bahawa kami komited untuk meneruskan usaha sama dengan Universiti Malaya bagi menganjurkan pertandingan DIY Made Simple selama tiga tahun lagi, untuk edisi 2023-2025,” kata beliau.
Dengan sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke atas program itu, pihaknya berharap lebih banyak sekolah di negara ini akan mengambil bahagian dalam pertandingan ini melalui kelab-kelab kokurikulum seperti Kelab Alam Sekitar, Kelab Kemahiran Hidup dan Kelab Senibina.
Langkah ini akan memastikan kelestarian usaha-usaha pelajar-pelajar sebelumnya dan keseluruhan program ini.

Tema pada tahun ini, ‘Menghadapi Norma Baharu: Transformasi Sekolah,’ memerlukan para pelajar mencari jalan mempertingkatkan kemudahan di sekolah mereka, di samping menyesuaikan dengan persekitaran pascapandemik.
Pertandingan diadakan dalam tiga fasa, di mana fasa pertama melibatkan penyertaan melalui kiriman video.
Pada tahun 2022, sebanyak 82 penyertaan telah diterima.
Panel-panel juri yang terdiri daripada wakil-wakil dari UM, MR D.I.Y., dan KPM telah menilai kesemua penyertaan tersebut dan menyenarai pendek 47 pasukan untuk menghasilkan cadangan dan persembahan prototaip dalam fasa kedua.
Dalam fasa ketiga dan terakhir, 16 finalis telah dipilih untuk bekerjasama dengan para pensyarah dari Fakulti Alam Bina UM untuk mentransformasi idea-idea sekolah mereka menjadi realiti. Ini kemudiannya dipaparkan sebelum upacara akhir.
Mengulas tentang usaha sama dan pertandingan tersebut, Naib Canselor UM, Profesor Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, pihaknya amat menghargai persetujuan MR D.I.Y. untuk terus bekerjasama dalam menganjurkan program berasaskan pertandingan yang unik ini.
Beliau bersependapat bahawa program tersebut mempunyai cara yang tersendiri kerana ia menampilkan usaha sama empat penjuru (universiti-industri-kerajaan-komuniti) yang sinergi dan saling bermanfaat untuk semua pihak yang terlibat.
“Program DIY Made Simple menawarkan platform yang membolehkan pelajar-pelajar sekolah mengaplikasikan subjek-subjek yang dipelajari di sekolah.
“Yang paling penting, para pelajar berjaya mencetuskan idea-idea yang amat kreatif, inovatif dan lain dari yang lain,” kata Mohd Hamdi.
Sementara itu, ketua juri pertandingan DIY Made Simple Profesor Anuar Alias, yang juga merupakan Dekan Fakulti Alam Bina di UM berkata, beliau amat kagum dengan idea-idea yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar sekolah tersebut.
Malah, ada antaranya yang berpotensi untuk dipaparkan di pertandingan-pertandingan inovasi di peringkat yang jauh lebih tinggi.
Sebagai pemenang tempat pertama, pasukan dari Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor, Pahang membawa pulang wang tunai sebanyak RM4,500.
Manakala, SMK Tunku Besar Burhanuddin yang mendapat tempat kedua membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000.
SMK Darul Aman, Alor Setar, Kedah, mendapat tempat ketiga, membawa pulang wang tunai RM1,500.
SM Setiabudi, Kuala Lumpur, di tempat keempat, membawa pulang wang tunai RM1,000 dan SM Agama Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan di tempat kelima membawa pulang wang tunai RM500.
Selain itu, setiap pasukan tersebut masing-masing turut menerima baucar tunai MR D.I.Y. sijil dan trofi.
Sementara itu, SMK St. Anthony, Sarikei, Sarawak telah memenangi wang tunai RM500 kerana video mereka berjaya meraih jumlah ‘like’ yang terbanyak di YouTube semasa fasa satu pertandingan ini.
SMK Tun Habab, Kota Tinggi, Johor, SM Sains Pasir Puteh, Kelantan, SMK Cyberjaya, Selangor, SMK Tun Perak, Rawang, Selangor, SM Arab Asaiyidah Khadijah, Merlimau, Melaka, SMK Agama Sultan Muhammad, Batu Berendam, Melaka, SM Sains Selangor, Kuala Lumpur, SM Agama Persekutuan Bentong, Bentong, Pahang, SMK Abdul Rahman Talib, Kuantan, Pahang, SMK Riam, Miri, Sarawak, dan SMK Chung Hua (CF), Miri, Sarawak masing-masing menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai sebanyak RM400 dan sebuah trofi.
Sejak dimulakan pada tahun 2017, pertandingan DIY Made Simple telah mencapai lebih daripada 3,000 pelajar di lebih 300 sekolah di seluruh negara, dengan lebih 300 projek dihantar untuk semakan.
Untuk maklumat lanjut mengenai MR D.I.Y., layari laman webnya di www.mrdiy.com, serta saluran media sosial di Facebook dan Instagram.