KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi, demikian kata bank pusat dalam satu kenyataan.
Pada mesyuarat pertama bagi 2023 pada Januari lalu, MPC mengambil keputusan yang mengejutkan pasaran dengan mengekalkan kadar penanda aras pinjaman dan deposit itu pada 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut tahun lalu.
OPR dinaikkan bermula Mei, Julai, September dan November tahun lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.