KUALA LUMPUR – Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya (ABFGR) kembali memeriahkan sambutan Aidilfitri 2027 dengan penganjuran lebih besar, penawaran aktiviti menarik serta peluasan lokasi ke Pantai Timur buat julung kalinya.
Dianjurkan oleh ABGR PLT, hasil kerjasama My Events International dan Absolut Events, acara yang pernah diiktiraf The Malaysia Book of Records sebagai Ekspo Festival Raya Terbesar di Malaysia pada 2024 itu bakal berlangsung di dua lokasi utama.
Edisi pertama ABFGR 2027 dijadualkan berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur dari 19 hingga 22 Februari 2027 selama 66 jam tanpa henti.
Penganjuran seterusnya akan dibawa ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang dari 5 hingga 7 Mac 2027, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai usahawan dan pengunjung di Pantai Timur untuk menyertai festival berkenaan.

Pihak penganjur menyasarkan penyertaan lebih 900 vendor bagi kedua-dua lokasi tersebut.
Meneruskan momentum kejayaan sepanjang lima tahun penganjurannya, ABFGR 2027 bukan sekadar menjadi platform jualan dan promosi produk tempatan, malah menawarkan pelbagai aktiviti hiburan serta pengalaman membeli-belah kepada pengunjung.
Antara pengisian yang dirancang termasuk sesi ramah mesra bersama selebriti dan pempengaruh terkenal, Mini Absolut Foodfest, konsert mini, jualan Happy Hour, cabutan bertuah, Wheel of Fortune, Money Chamber serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Dalam perkembangan sama, ABFGR turut memperkenalkan rakan strategik dan penaja rasmi bagi edisi 2027, iaitu Advance Intelligence Group (ATOME) sebagai Rakan Pembayaran BNPL Rasmi, Media Prima Berhad sebagai Media Rasmi dan Blackmores Malaysia Sdn Bhd sebagai Rakan Kesihatan dan Kesejahteraan Rasmi.
Kerjasama bersama jenama terkemuka itu dijangka memperkukuh pengalaman pengunjung serta memudahkan urusan penyertaan vendor sepanjang berlangsungnya festival.
Tapestry By ABGR: Singgah Raya Perkenal Konsep Acara Baharu
Satu lagi tarikan utama yang diumumkan ialah pengenalan model acara baharu dikenali sebagai Tapestry by ABGR: Singgah Raya, yang bakal berlangsung pada 26 hingga 28 Februari 2027 di The Arch Galeries sebagai Lokasi Rasmi.
Pengasas Bersama ABGR PLT, Puan Nadiyah Shahab berkata, acara berkenaan dirancang dengan konsep dan pengalaman berbeza daripada festival Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya.
Menurutnya, Tapestry by ABGR: Singgah Raya akan mengetengahkan tiga konsep utama iaitu Premium, Pasar Lambak (Flea Market) dan Mini AFF bagi memenuhi keperluan serta segmen pasaran yang berbeza.

Inisiatif itu turut membuka ruang kepada lebih ramai peniaga dan jenama untuk menyertai acara berkenaan menerusi pilihan pakej penyertaan yang lebih mampu milik
Tapestry by ABGR: Singgah Raya dijangka memberikan dimensi baharu kepada pengalaman membeli-belah Raya menerusi pendekatan yang lebih segar, selain menyediakan peluang kepada usahawan untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada kumpulan pelanggan yang lebih luas.
Penganjur turut mengalu-alukan penyertaan jenama, usahawan dan pihak berkepentingan yang berminat untuk menjalin kerjasama bagi kedua-dua acara berkenaan.
Menerusi penganjuran ABFGR 2027 dan Tapestry by ABGR: Singgah Raya, ABGR PLT berharap dapat terus memperkukuh kedudukan kedua-dua platform itu sebagai medan penting dalam menyokong perkembangan usahawan tempatan, di samping menawarkan pengalaman membeli-belah sempena Aidilfitri yang lebih meriah dan menyeluruh.
Orang ramai serta usahawan yang berminat boleh mengikuti akaun media sosial rasmi Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai penganjuran, penyertaan vendor dan pelbagai aktiviti menarik yang bakal diumumkan.
