KUALA LUMPUR – Pesta Citarasa Sambal (TOSFE) menemui pencinta makanan itu dengan lebih 100 jenis sambal yang dipamerkan oleh usahawan sambal di KL Gateway pada 10, 11 dan 12 Mac ini.
Selain Malaysia sebagai pempamer utama, pencinta sambal juga berpeluang menikmati dan membeli sambal dari negara Asia lain seperti Veitnam, Indonesia dan pelbagai lagi.

TOSFE dianjurkan oleh Persatuan Seni Warisan Artistik Digital (PSWAD) dengan kerjasama KL Gateway yang mensasarkan 15,000 pengunjung sepanjang hujung minggu ini.
Pengerusi PSWAD, Azmi Jaffry berkata, Malaysia sangat terkenal dan kaya dengan kepelbagaian makanan dan antara yang menjadi kegemaran seluruh rakyat Malaysia adalah sambal.
“Sambal belacan misalnya menjadi “hero menu” di setiap hidangan rumah atau restoran Malaysia. Orang kata kalau sudah namanya rakyat Malaysia, tidak boleh lari dari sambal, tidak kira dalam masakan atau pencicah,” katanya.
“Jika di lihat sambal belacan sahaja mempunyai pelbagai jenis dan rasa antaranya sambal belacan tempoyak, kuinin, sambal cermai, sambal ikan bilis dan pelbagai lagi,” ujarnya.

TOSFE yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata MOTAC menyambut baik program ini yang merupakan langkah aktif dan bersifat interaktif dalam mengembalikan martabat warisan bangsa dan disegarkan untuk lebih dihargai generasi pelapis.
“Inisiatif penganjuran TOSFE sejajar dengan objektif kementerian mempromosikan keunikan seni, budaya dan warisan Malaysia serta produk pelancongan sebagai pemangkin utama pertumbuhan sektor pelancongan dan kebudayaan negara.
“Kerajaan melalui MOTAC sentiasa memberl ruang dan peluang melalui bantuan, sokongan kepada pihak pihak yang menggerakkan aktiviti yang berkaitan seni, budaya dan warisan seperti ini” katanya.


Tambahnya, NGO boleh memainkan peranan melalui aktiviti atau program yang dapat menggalakkan pembangunan mdustri pelancongan, seni dan budaya tempatan.
“Langkah proaktif daripada pengusaha sambal di Malaysia saya kira amat bagus kerana berupaya memberi pendapatan luar biasa kepada pengusaha, malah menyumbang serta menjana ekonomi negara dalam sektor kulinari (pemakanan) dan sekaligus sektor pelancongan.
“Saya melihat inisiatif sebegini dalam memperkenal dan mempromosikan pelbagai sambal merupakan usaha yang amat baik sekali kerana berupaya membantu Industri Kecil & Sederhana (IKS) memasarkan produk masing-masing,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyokong penganjuran TOSFE dapat dilebarkan dengan lebih meluas ke seluruh negara-negara Asia dan menjadi acara tahunan dengan sokongan pihak Kementerian.