Putrajaya – Perbadanan Kota Buku (PKB), penyedia platform buku digital terbesar negara, akan bekerjasama dengan platform e-buku lain di rantau Asia tidak lama lagi untuk mempelbagaikan sumber bacaan berkualiti untuk masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Adibah Omar berkata sebagai permulaan, entiti di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) itu menjalin kerjasama dengan Perpustakaan Digital PT Enam Kubuku Indonesia (Kubuku) yang menyediakan bahan bacaan untuk Perpustakaan Negara Indonesia. Beliau turut menambah, antara lainnya akan meluaskan jaringan akses kerjasama ke rantau Asia.

Menurutnya, kerjasama itu mewujudkan situasi menang-menang bagi penerbit Malaysia dan Indonesia kerana ia membolehkan mereka memasarkan penerbitan mereka di platform Kubuku dan Kota Buku Digital Malaysia (KBDM) yang boleh diakses di www.bookcapital.my.
“Inisiatif yang sama akan dilaksanakan dengan platform e-buku di Singapura, Thailand dan Vietnam,” katanya kepada Bernama hari ini.
Bagi mempromosikan platform KBDM dan menyediakan persekitaran membaca yang kondusif di sekolah, Adibah berkata PKB akan bekerjasama dengan KPM untuk melaksanakan projek perintis ‘Mini Book City’. Beliau menambah, bagi meningkatkan kecekapan portal KBDM mesra pengguna, PKB turut menjalin kerjasama dengan pengendali perkhidmatan wang digital, Merchantrade Asia Sdn Bhd bagi menawarkan fungsi kewangan dan pembayaran e-dompet untuk pembelian bahan bacaan.


Portal yang turut menawarkan bahan bacaan fiksyen dan bukan fiksyen termasuk novel, komik dan buku kanak-kanak itu boleh diakses secara percuma.
PKB berusaha untuk menyatukan keseluruhan ekosistem industri buku negara termasuk penerbitan, penulisan, penterjemahan, dan pelbagai aktiviti berkaitan buku sekaligus memudahkan masyarakat dan pelajar sekolah mendapatkan akses kepada bahan bacaan dengan lebih mudah.