Petaling Jaya – Volvo Car Malaysia (VCM) telah memperkenalkan program pra-milik Selekt di negara kita. Melaluinya, orang ramai boleh membeli kereta Volvo terpakai yang telah lulus ujian kualiti, dengan lebih mudah dan menyenangkan.
Pada mulanya, kereta yang berada di bawah program ini akan dipilih secara teliti untuk memastikan ia berusia tidak sampai lima tahun dengan jarak batuan tidak melebihi 100,000 km. Kemudiannya, ia perlu melalui proses pengesahan jarak batuan serta sejarah servis, pemeriksaan rapi 125 bahagian dan diberikan naik taraf perisian terkini.

Apabila semuanya baik, termasuklah ciri keselamatan, prestasi serta penampilan mematuhi standard yang ditetapkan, barulah kereta tersebut akan diluluskan untuk dijual. Untuk memastikan pemilik lebih tenang, kenderaan yang dijual di bawah program Selekt ini juga datang dengan jaminan minimum 12 bulan serta bantuan tepi jalan satu tahun.
Para peminat Volvo boleh menikmati pengalaman mewah gaya Scandinavia menerusi tawaran terbaharu daripada Ingress Swede Automobile, program kenderaan pra-milik Volvo SELEKT; yang beroperasi di Mutiara Damansara.

Menurut Encik Rabian Ab Rahman, Pengarah Urusan Ingress Swede Automobile, “Sebagai pengedar sah untuk Volvo Car Malaysia, kami sentiasa berusaha meneroka peluang baharu agar terus berkembang dan berinovasi dalam industri automotif di Malaysia. Kami percaya bahawa kejayaan yang dicapai adalah bergantung pada keupayaan kami untuk berada selangkah ke hadapan dan memahami keperluan pelanggan, dan kerana itulah kami amat berbesar hati melancarkan program kenderaan pra- milik Volvo SELEKT. Program ini bukan sahaja merupakan tambahan mantap kepada portfolio kami yang sedia ada, tetapi juga seiring dengan visi jangka panjang kami.
“Pelancaran program ini merupakan langkah strategik yang membolehkan kami memanfaatkan pasaran yang sedang berkembang pesat, sekaligus turut mengukuhkan kerjasama yang terjalin dengan Volvo Car Malaysia, menyokong matlamat kelestarian kami, serta memperkukuhkan reputasi kami sebagai pembekal utama kenderaan premium dan mewah di Malaysia. Kami juga berasa teruja dengan potensi peluang yang akan dibawa oleh program ini, dan sudah tidak sabar untuk memberikan perkhidmatan dan kualiti yang terbaik kepada pelanggan kami seperti yang sudah dijangka dari Ingress Swede Automobile Sdn Bhd.” katanya.

Selain itu, pelancaran program Volvo SELEKT ini juga merupakan langkah penting dalam memperkasa matlamat kelestarian mampan jangka panjang syarikat kami. Kami juga komited dalam mengekalkan standard kualiti dan perkhidmatan yang tertinggi, di samping turut memberi sepenuh perhatian kepada impak terhadap alam sekitar.

Tambahnya, dengan menawarkan kenderaan Volvo terpakai yang telah melalui ujian dan pemeriksaan menyeluruh, pihaknya menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kesan kepada alam sekitar.
Ini sejajar dengan objektif tanggungjawab sosial korporat, dan kami percaya bahawa langkah ini amat dihargai oleh pelanggan kami yang semakin peka terhadap isu alam sekitar lestari.