Bisnes Terkini

Malaysia jalin kerjasama dengan Korea import daging lembu hanwoo yang disahkan halal JAKIM

Kuala Lumpur – Eksport daging lembu Hanwoo Korea Selatan yang pertama disahkan halal ke Malaysia bermula bulan depan, membolehkan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara dijangka meningkat, dan bakal merangsang pengembangan eksport republik itu ke lebih banyak negara-negara yang majoritinya beragama Islam.

Menteri Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar (Mafra) Korea Selatan, Chung Hwang Keun berkata berikutan eksport produk baharu itu ke Malaysia, angka perdagangan berpotensi lebih tinggi daripada rekod tahun lepas sebanyak AS$26.7 bilion (AS$1 = RM4.47).

“Walaupun jumlah nilai eksport daging lembu Korea adalah kira-kira AS$30 juta tahun lepas, kami menjangkakan kesan positif dalam meningkatkan perdagangan kami dengan Malaysia.

“Memandangkan minat yang tinggi terhadap masakan Korea, dipengaruhi oleh muzik dan drama (televisyen) Korea, kami akan berusaha untuk terus mengaktifkan eksport daging lembu Korea,” katanya.

Hwang Keun berada di sini untuk lawatan tiga hari bagi bertemu dpegawai-pegawai kerajaan dan syarikat berkaitan import untuk mempromosikan lagi eksport daging lembu Hanwoo Korea.

Ketua Pegawai Eksekutif Nova Innovation, Jofadli Abdl Rashid menjelaskan industri daging halal hanwoo mendapat tempat di kalangan semua masyarakat malah mendapat permintaan tinggi di kalangan bukan muslim. Ini kerana, ramai memilih daging yang diperakui halal setelah meyakininya dari segi kebersihan, cara sembelihan yang baik dan sebagainya.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk mendapat kelulusan sijil halal JAKIM, kami perlu lalui pelbagai proses dan saringan memandangkan daging lembu hanwoo berasal dari negara yang majoritinya bukan muslim.

“Dari 70 buah pusat sembelihan di Korea, hanya sebuah pusat sahaja yang berjaya diiktiraf JAKIM kerana pematuhan mereka terhadap kebersihan, penyembelihan mengikut syarak dan cara proses yang betul” katanya kepada Malaysianews TV.

Tambahnya, Malaysia adalah pasaran pertama bagi daging lembu Korea yang disahkan halal dan terdapat ruang yang besar untuk mengembangkan lagi pasaran di negara ini.

Selepas hampir lima tahun perbincangan, pemantauan rapi dan bantuan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kedua-dua negara telah bersetuju dengan syarat kebersihan import.

Katanya, MAFRA menerima kelulusan akhir setelah melakukan pemeriksaan dari Januari hingga Februari tahun ini.

Perkembangan terkini itu membolehkan Malaysia menjadi negara pertama mempamerkan daging lembu Hanwoo, menjadikannya negara keempat selain Hong Kong, Macau dan Kemboja yang boleh mengimport daging lembu Korea.

Ketua Pegawai Eksekutif pengeksport Korea Handawoon fsl co.ltd, Ryu Chang Youl memaklumkan, daging lembu Hanwoo adalah unik, dengan rasanya yang tersendiri dan hanya boleh didapati di Korea Selatan.

“Setiap peringkat proses pengeluaran Hanwoo, dari ladang hingga ke meja makan, diuruskan dengan ketat melalui sistem kebolehkesanan bagi memastikan keselamatan dan kualitinya.

“Kami menjangkakan pengembangan eksport selanjutnya ke negara-negara lain yang memerlukan pensijilan halal seperti Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang mana rundingan mengenai pemeriksaan eksport telah diselesaikan.

“Kami merancang untuk berusaha mengembangkan eksport daging lembu Korea ke negara Islam lain termasuk UAE, dengan memastikan penyediaan pensijilan dan rundingan yang diperlukan,” katanya.

Daging lembu hanwoo ini dijangka dibawa masuk ke Malaysia sekitar bulan Jun atau Julai tahun ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: