Putrajaya – Penggunaan alat timbang neraca akan dimansuhkan sepenuhnya dalam tempoh setahun dari sekarang dan akan digantikan dengan alat penimbang elektronik.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perbincangan dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan pemain industri serta pihak berkuasa akan dibuat, sebelum sistem tersebut dilaksanakan.
Sesi libat urus bersama pemain industri dan pihak penguat kuasa, berhubung keputusan kerajaan itu akan diadakan, bagi memastikan bekalan mesin berkenaan mencukupi, harga bersesuaian serta memberi masa kepada peniaga untuk mendapatkan alat berkenaan.
“Pada masa ini, hanya 25 peratus alat timbang elektronik digunakan di seluruh negara, dan KPDN turut merancang untuk mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pelbagai pihak, bagi mengatasi isu berkaitan timbang dan sukat ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Metrologi Sedunia di sebuah pusat beli-belah di sini.

Salahuddin berkata dalam proses melaksanakan penggunaan penimbang baharu itu, kerajaan akan turut memberi perhatian terhadap isu berkaitan kecukupan bekalan dan harga alat tersebut, bagi memberi masa kepada peniaga mendapatkan alat timbang itu.
Beliau berkata KPDN telah meneliti dan melantik beberapa syarikat untuk membekalkan alat penimbang elektronik berkenaan.
Dalam pada itu, hingga kini penggunaan alat timbang elektronik dalam pasaran adalah sebanyak 25 peratus.
Sempena Hari Metrologi itu, penganjur sambutan tersebut De Metrology Sdn Bhd menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Most Measuring Instruments kerana mencatat 3,197 jumlah verifikasi alat timbang dan sukat iaitu paling banyak dalam tempoh sehari pada 16 Mei lepas.