Petaling Jaya – Pengasas kosmetik dan juga selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri dan isteri baru sahaja melakukan majlis tahnik dan akikah buat anak keenamnya, Luqman Al Hakim di kediaman mereka di Kota Damansara pada Sabtu.
Berkongsi mengenai majlis tersebut dengan lebih lanjut, Aliff mengakui teruja dengan kelahiran Luqman, dan menganggap rezeki zuriat yang perlu diraikan dan disyukuri.

Ditanya mengenai kos majlis pada pagi itu, ahli perniagaan ini tidak mahu memberikan butiran lanjut bimbang andai ia akan disalah erti ramai pihak. Menurutnya, biarlah apa yang dilakukan itu menjadi suatu pengalaman manis buat mereka sekeluarga.
Isterinya, Datin Seri Nur Shahida turut menyatakan fokusnya kini hanya tertumpu dalam membesarkan anak-anak disamping menguruskan bisnes. Beliau juga menambah buat masa ini, mereka suami isteri merancang ‘tutup kilang’ bagi memberi tumpuan kepada apa yang ada sekarang.
“Kami rancang tutup kilang lepas ni, tumpu dan fokus pada anak-anak, pelajaran mereka dan juga bisnes yang ada.
“Namun, saya tidaklah menolak rezeki Allah nak beri dan tetap menerima dengan baik” katanya.

Baru saja melahirkan cahaya mata keenam pada 3 April lalu, Shahida mengakui sudah keluar rumah seminggu selepas bersalin atas tuntutan kerja. Beliau juga berkata, ianya bergantung pada kondisi tubuh masing-masing dan bergantung kepada kekuatan sendiri.
“Bagi saya, setiap kehidupan individu adalah berbeza. Ada orang boleh duduk di rumah, cuma pada saya, perlu bekerja jadi berbeza.
“Kita hanya perlu mengikut logik akal, mengikut kesesuaian dan keselesaan tubuh masing-masing. Saya sudah enam kali melahirkan, jadi saya maklum apa yang boleh dan tidak boleh dengan badan saya.

Datuk Seri Aliff Syukri menambah, beliau juga tidak akan menolak jika dikurniakan zuriat lagi namun bergantung kepada ketahanan badan isterinya namun buat masa ini berhasrat untuk memberi fokus kepada pembesaran keenam anak-anaknya dahulu.


“Kami kini sudah ada 6 cahaya mata dan perlu fokus untuk mereka, soal tambah zuriat lagi itu kami tutup kilang dulu tapi jika Allah nak bagi lagi, kami terima dengan hati terbuka” katanya dengan nada seloroh selepas majlis tahnik bayi keenamnya itu.
Dalam masa sama, Aliff turut menjelaskan beliau kini sudah tidak kisah dikecam para netizen berikutan isu viral yang terkait beberapa kali. Tambahnya, kecaman yang diterima sudah menjadi asam garam dalam kehidupannya yang meminati bidang nyanyian disamping menguruskan bisnes.

“Saya dahulu memang tidak boleh terima kecaman walaupun hanya perkara kecil. Jadi, saya sudah tidak kisah kerana terlalu banyak kecaman yang dilemparkan.
“Yang penting, saya tahu apa yang saya buat dan terpulanglah kepada netizen untuk memberi komen yang baik ataupun sebaliknya” jelasnya.
Untuk rekod, Aliff mendirikan rumah tangga dengan Shahida pada Ogos 2007.
Pasangan ini dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim.
