Kuala Lumpur – Filem terbitan Berjaya Pictures, Malbatt Misi Bakara yang menelan bajet RM20 juta bakal menemui penonton di pawagam 24 Ogos ini, menjadi antara filem paling mahal pernah dihasilkan di Malaysia.
Filem Malbatt Misi Bakara berkisar kisah benar di sebalik insiden Black Hawk Down yang menyaksikan tindakan berani mati anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt) 1 menyelamatkan 70 anggota US Rangers yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia, pada 1993.
Selama ini, peminat disajikan dengan versi Hollywood melalui filem Black Hawk Down arahan Ridley Scott pada 2001 yang memaparkan pertempuran membabitkan tentera AS di Somalia.

Melalu filem itu, hanya sekali istilah ‘Malay Army’ disebut, iaitu ketika tentera AS memohon bantuan anggota Malbatt 1 untuk menyelamatkan anggota US Rangers dengan plot tidak dikembangkan.
Pengarah merangkap producer filem itu, Adrian Teh memberitahu, besar harapannya agar penonton menghargai pengorbanan dan pahit jerih anggota keselamatan dalam memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan aman.
“Untuk mengarah filem ini dan tayangan pula diadakan sempena bulan Kemerdekaan, ia merupakan salah satu strategi untuk memupuk semangat kebangsaan dan patriotik dalam kalangan rakyat.
“To call them that we as Malaysian, we are small country tapi we are proud of ourself. Benda ini sangat penting,” katanya.

Malbatt Misi Bakara dipersembahkan Tentera Darat Malaysia bersama enam syarikat penerbitan gergasi iaitu Berjaya Pictures, Act 2 Pictures, Fast Bikes, Aurum Investments Limited, Golden Screen Cinemas dan Astro Shaw.
Turut hadir ke majlis ini adalah Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan, Penasihat Berjaya Corporation, Pengarah Kanan Kejuruteraan FINAS, YM Ts. Raja Adhzim, Panglima, Pegawai-Pegawai Kanan TD, mantan pegawai-pegawai 19 RAMD, Veteran 19 RAMD, anak dan balu kepada Allahyarham Kpl Mat Aznan bin Awang yang terkorban dalam peristiwa tersebut serta rakan promosi filem.
