DSC09128

Kuala Lumpur – Tanpa mengira latar belakang, setiap orang mempunyai impian dan cita-cita, hal sama juga dimiliki golongan belia dianggap berisiko wajar diberi peluang kedua untuk menentukan masa hadapan mereka yang lebih baik.

Justeru, Program TEAM dengan sokongan daripada Selangor Youth Community (SAY) yang dinaungi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Prince’s Trust International (PTI) diwujudkan sejak 2020.

Bagi penyertaan tahun 2022, menyaksikan anak muda Hairul Mafahir Abdullah, 26, dinobat sebagai penerima Prince’s Trust Sustainability Award for Asia 2022 oleh Prince’s Trust International (PTI) iaitu organisasi global yang diasaskan oleh Raja Charles III.

Berkelulusan Diploma Mekatronik dari German Malaysia Institute (GMI) menyifatkan kerjayanya kini sebagai Penyelaras Biodiversiti dan Pemulihan Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Hutan Hujan Tropika (TRCRC) tidak tersasar dari bidang yang dipelajarinya.

“Bagi sesetengah orang menganggap saya lari dari bidang yang dipelajari namun sebenarnya ianya tetap ada kaitan dalam kehidupan dan kerjaya saya pada masa ini, ini kerana apa sahaja yang dilakukan perlu ada kemahiran engineering untuk memudahkan atau menyelesaikan masalah.

“Seperti contoh, kepakaran kejuruteraan sangat diperlukan bagi menyedia sistem mengelakkan tanah runtuh di kawasan berbukit” katanya.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, dia bersyukur mendapat pengiktirafan anugerah daripada pertubuhan yang diasaskan sejak tahun 2015 bagi menyokong golongan belia seluruh dunia menangani krisis global pengangguran.

Dia yang sebelum ini bertugas sebagai juruteknik kejuruteraan selama dua tahun, tidak menyangka COVID-19 menyebabkan kehilangan pekerjaan pada tahun 2020.

“Pada bulan Februari 2022, saya menyertai program TEAM dan banyak perkara dapat dipelajari selama sembilan minggu seperti kepimpinan, keyakinan diri dan menyediakan diri dalam pekerjaan” tambahnya.

Hairul yang kini bertugas dibawah projek Banun di Hutan Simpan Amanjaya, Grik, Perak, menyifatkan cara kerja dan pergaulannya bersama masyarakat setempat ditambah komuniti orang asli sebagai peranan utama sehingga dipilih memenangi anugerah ini.

“Alhamdulillah, saya berjaya membuktikan bidang kerja ini mampu menyara diri dan keluarga dan berharap dapat membuka mata ramai pihak terutama golongan belia bahawa kerjaya seperti saya mampu membawa kita lebih jauh dan secara tidak langsung di mata dunia” jelasnya lagi.

Pengurus Program Team, Aiman Nazri berkata antara aspek utama yang dinilai adalah bagaimana calon-calon mampu keluar dari pengangguran dan dapat menyara diri serta keluarga.

“Selain dari aspek sara hidup, antara perkara utama yang dinilai adalah nilai murni dan hubungan kemasyarakatan dengan warga setempat, untuk Hairul, kami dapat lihat beliau menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat di kawasan tersebut lebih-lebih lagi dengan orang asli” katanya dalam sidang media selepas majlis penganugerahan.

Jelasnya lagi, pihaknya memilih tiga peserta yang layak sebagai pencalonan untuk anugerah itu, begitu juga negara lain seperti India dan Pakistan yang turut menghantar pencalonan mereka.

Sebanyak lima kohort dalam Program Team 2022 telah dicalonkan dan turut menyaksikan Teffanie Arputhera memenangi Anugerah Personal Growth Award, Duwan Abdullah bagi Anugerah Perseverance Award manakala Arus Academy menerima Anugerah Most Supportive Community Partner dan Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC) merangkul Anugerah Most Supportive Work Placement Provider.

Penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Turut bersama Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay dan Ketua PTI Asia, Wassim Malik.

Hadir sama di majlis penganugerahan tersebut, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community (SAY), Nurul Azwa Mohd Rodzi.

 

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading