Event-101.jpg

Kuala Lumpur – P&G Malaysia dan Watsons Malaysia berganding bahu dengan Nicol David Organisation (NDO) untuk melancarkan kempen “Buy Good. Do Good. Play It Forward.”, sebuah inisiatif yang mengubah pembelian harian kepada tindakan bermakna dalam menyokong kesihatan, kesejahteraan dan gaya hidup aktif kanak-kanak di seluruh Malaysia.

Berlangsung di cawangan Watsons yang mengambil bahagian, kempen ini menggalakkan rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada perubahan positif melalui setiap pembelian produk P&G terpilih yang layak. Hasil daripada kempen ini akan disalurkan kepada program +Play oleh Nicol David Organisation bagi membantu lebih ramai kanak-kanak mendapat akses kepada aktiviti fizikal berkualiti, psikologi positif serta kemahiran hidup yang mampu membina keyakinan diri, daya tahan dan masa depan yang lebih sihat.

Ketika isu ketidakaktifan fizikal dalam kalangan kanak-kanak, kesejahteraan mental yang semakin merosot serta amalan gaya hidup tidak sihat terus meningkat, kerjasama ini menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran yang positif agar kanak-kanak dapat berkembang dari segi fizikal, emosi dan sosial melalui aktiviti bermain.

“Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk membesar dengan sihat, yakin dan penuh harapan,” kata Datuk Nicol David, Pengasas Nicol David Organisation. “Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan P&G dan Watsons dalam kempen yang begitu bermakna ini. Bersama-sama, kami memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada generasi akan datang dengan cara yang mudah tetapi berimpak besar. Setiap pembelian menjadi peluang untuk membantu kanak-kanak bermain, bergerak aktif dan menemui potensi diri mereka.”

Program +Play oleh Nicol David Organisation menggabungkan aktiviti fizikal, sukan dan pendekatan psikologi positif berasaskan bukti untuk membantu kanak-kanak membina tabiat sihat, meningkatkan kesejahteraan emosi serta mengembangkan keyakinan diri dan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya di sekolah, di rumah dan dalam komuniti mereka. Sejak diperkenalkan, program ini telah memberi manfaat kepada ribuan kanak-kanak, guru dan keluarga di seluruh Malaysia, sekali gus mewujudkan impak yang mampan dengan memperkasakan pendidik dan komuniti untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan positif.

“Di Watsons, kami percaya bahawa menjaga pelanggan juga bermaksud memberi impak positif kepada komuniti yang kami berkhidmat. Melalui rangkaian kedai Watsons di seluruh negara, pelanggan boleh membeli produk P&G dengan mudah sambil menyumbang kepada usaha yang bermakna ini. Bersama P&G dan Nicol David Organisation, setiap pembelian akan menjadi sumbangan yang bermakna untuk menyokong masa depan anak-anak kita serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk mereka bermain dan membesar dengan penuh keyakinan,” kata Caryn Loh, Pengarah Urusan Serantau Health & Beauty Asia, AS Watson Group, dan Pengarah Serantau Exclusives, Watsons International.

“Di P&G, usaha memperbaiki kehidupan sentiasa menjadi teras kepada segala yang kami lakukan. Melalui kerjasama dengan Watsons dan Nicol David Organisation ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk melihat bagaimana pembelian harian mereka mampu menyumbang kepada masa depan yang lebih cerah dan sihat untuk kanak-kanak. P&G berbangga dapat bekerjasama dalam memperkasakan kanak-kanak Malaysia melalui sukan dan pendidikan, sekali gus memupuk disiplin, semangat kerja berpasukan dan keyakinan diri. Bersama-sama, kami percaya kepada semangat Play It Forward dalam membina masa depan yang lebih gemilang untuk generasi akan datang,” kata Rajadurai Dhanasekharan Navin, Naib Presiden, Pengurus Negara Malaysia dan Singapura bagi Operasi Pasaran dan Tadbir Urus Jualan.

Kempen “Buy Good. Do Good. Play It Forward.” merupakan inisiatif peringkat kebangsaan oleh P&G, Watsons dan Nicol David Organisation (NDO) yang menggalakkan rakyat Malaysia menjadikan pembelian harian mereka sebagai sumbangan yang bermakna. Inisiatif ini akan berlangsung dari 23 Julai hingga 26 Ogos 2026 di Semenanjung Malaysia dan dari 30 Julai hingga 2 September 2026 di Malaysia Timur. Sepanjang tempoh ini, pelanggan boleh menyokong usaha tersebut dengan membeli produk P&G yang mengambil bahagian di semua cawangan Watsons di seluruh negara.

Sebanyak RM1 daripada setiap pembelian yang layak akan disumbangkan kepada NDO bagi menyokong pembangunan golongan muda. Program ini bertujuan melahirkan kanak-kanak yang lebih sihat, aktif dan lebih bersedia untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan. P&G, Watsons dan NDO percaya bahawa apabila masyarakat bersatu demi matlamat yang sama, tindakan kecil yang dilakukan setiap hari mampu menghasilkan perubahan positif yang berkekalan untuk generasi akan datang.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading