Kuala Lumpur – Asia Leaders in Cinematics Incubation (ALCI) melancarkan visinya untuk membangunkan antara ekosistem ekonomi kreatif paling bersepadu di Asia Tenggara yang menghubungkan industri perfileman, teknologi digital, keusahawanan kreatif dan pembangunan bandar kreatif menerusi satu platform.
Pelancaran yang membawa tema “From Movie to Wallet to City” itu mengetengahkan strategi jangka panjang bagi memperkukuh peranan industri kreatif sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, selain mewujudkan peluang kepada penggiat industri, pelabur, sektor perniagaan, komuniti dan pelancongan.

Pada majlis sama, ALCI memperkenalkan beberapa inisiatif strategik yang akan menjadi tunjang kepada pembangunan ekosistem tersebut.
Antaranya ialah Film in Malaysia, siri dokumentari sebanyak 13 episod yang mempromosikan setiap negeri di Malaysia sebagai destinasi penggambaran bertaraf antarabangsa, di samping memperkenalkan budaya tempatan, produk pelancongan, peluang pelaburan dan potensi ekonomi di setiap negeri.
ALCI turut melancarkan ALCI Digital Wallet, sebuah ekosistem dompet digital yang menghubungkan pengguna, peniaga dan industri kreatif menerusi pelbagai insentif termasuk ganjaran, pulangan tunai serta pengalaman hiburan.

Selain itu, ALCI mengumumkan pelaksanaan Inisiatif Penerbitan Bersama (Co-Production) Tempatan dan Antarabangsa bagi menggalakkan kerjasama antara penerbit Malaysia dan rakan antarabangsa dalam penerbitan filem cereka, dokumentari, siri televisyen serta kandungan digital.
Menurut ALCI, inisiatif berkenaan dijangka meningkatkan kemasukan pelaburan asing, memperkukuh pemindahan teknologi, memperluaskan pertukaran bakat dan menarik lebih banyak produksi antarabangsa menjalankan penggambaran di Malaysia.
Turut diumumkan ialah visi pembangunan Creative Economic City, iaitu pelan induk jangka panjang untuk mewujudkan hab ekonomi kreatif bertaraf dunia yang menggabungkan studio filem, pendidikan, teknologi, pelancongan, inovasi dan pembangunan industri kreatif dalam satu ekosistem bersepadu.

Majlis pelancaran itu juga menyaksikan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Strategik, Penerbit Bersekutu (Associate Producers) serta rakan kerjasama strategik bagi memperkukuh pembangunan ALCI di Malaysia dan mengembangkan rangkaian kerjasama di peringkat antarabangsa.
Pengasas ALCI, Aaron Lim, berkata pembangunan industri kreatif perlu dilihat sebagai satu ekosistem yang mampu memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kisah membentuk budaya, budaya mencipta peluang, dan peluang menjana pertumbuhan ekonomi. ALCI bukan sekadar menghasilkan filem, tetapi membina sebuah ekosistem kreatif yang mampu memberi nilai mampan kepada industri, masyarakat dan generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata, ALCI turut membuka ruang kerjasama dengan agensi kerajaan, pelabur, syarikat korporat, penerbit filem, penggiat industri kreatif, institusi pendidikan serta rakan strategik antarabangsa bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab ekonomi kreatif dan destinasi penerbitan kandungan bertaraf dunia.
