Cyberjaya – Perisian SagaCloud merupakan platform yang menawarkan empat komponen utama Enterprise Resource Planning (ERP) secara komprehensif berteraskan pada cloud technology (teknologi awan) iaitu E-Perolehan, Pengurusan Sumber Manusa (E-HRMS) dan Perakaunan. Sistem yang dikenal pasti lebih menjimatkan ini, dijangka akan memberi lebih banyak manfaat kepada usahawan kecil dan sederhana (IKS) termasuk syarikat bersaiz mega melancarkan lagi perniagaan yang dijalankan.
SagaCloud adalah hasil gabungan pembangunan yang bersandarkan pada teknologi terkini serta akses pada portal dalam talian yang lebih mesra pengguna. Ia memberikan banyak faedah dan kelebihan dalam mengoptimumkan produktiviti organisasi.
Perisian awan itu dilihat mampu memudah cara perjalanan aktiviti syarikat disamping membentuk sebuah organisasi lebih berdaya saing.

Pengasasnya, Datuk Samsul Husin berkata, antara faedah-faedah kepada pengguna SagaCloud termasuk menawarkan modul ERP dalam talian, secara langganan (subscription based).
“Modul yang ditawarkan juga secara ala-carte yang fleksibel dan mengikut keperluan semasa tanpa pembaziran kerana membeli hanya yang diperlukan sahaja dan langganan tambahan boleh diaktifkan pada bila-bila masa dan tempoh perlaksanaan juga yang lebih pendek.

“Perniagaan yang memerlukan perkhidmatan berkaitan boleh memperolehi sistem lebih mudah kerana boleh diakses di mana-mana dan bayaran lebih telus jika memilih perkhidmatan dalam talian” katanya.
Tambahnya, SagaCloud memiliki aspek dan teknologi terkini dalam menjaga keselamatan data (Data Security) yang lebih mapan dan ketat sekali gus menjadikan perisian ini diyakini selamat tanpa kebocoran dan kelompongan akses.

En Kamal, Ahli Lembaga Pengarah, Leadcom Group of Companies, En Mazlan, Pengasas, Open Soft Technologies Sdn Bhd
“Saya yakin SagaCloud selamat dengan teknologi keselamatan data kerana sistem cloud kami melalui Data Center yang mempunyai akses keselamatan yang lebih kukuh dan terkini.
“Menariknya, pengguna tidak perlu membeli sebarang bentuk perkakasan dan perisian, mahupun membeli kemas kini tambahan, mereka hanya perlu melanggan melalui pembayaran bulanan sahaja serendah RM200 bergantung kepada modul pilihan.
“Perisian dan sistem akan dikemas kini dengan kerap tanpa melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi,” jelasnya lagi dalam sidang media selepas majlis pelancaran yang dijalankan di Kafe Goffee, Cyberjaya.
Samsul juga menekankan bahawa pengkomputeran awan memudahkan proses penambahan dan perubahan perkhidmatan tanpa memerlukan penambahan atau pengalihan fizikal.

“Teknologi awan juga membantu meningkatkan kerjasama antara agensi kerajaan dengan menghapuskan had komunikasi model IT tradisional dan menjadikannya lebih pantas. Ia memudahkan perhubungan dan komunikasi antara pekerja yang bekerja di lokasi yang berbeza untuk mengakses maklumat, berkolaborasi dengan ahli pasukan, dan kakitangan utama” katanya lagi.
SagaCloud juga turut memperkenalkan sistem SagaCloud Mosque bertujuan membantu seluruh masjid di Malaysia menyusun atur data perolehan masjid seperti aliran tunai, perbelanjaan, aliran dana dan pengurusan.

“Untuk SagaCloud Mosque kami menyasarkan kepada setiap Majlis Agama Negeri atau mana-mana penaja yang mahu menyumbang sistem ini ke seluruh masjid dan membantu pengurusan menjadi lebih teratur” katanya.
SagaCloud berpangkalan di pusat data di Malaysia dengan jaminan Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) 99.9 peratus melibatkan tiga rakan strategi iaitu Starvision Sdn. Bhd., Eceo Sdn. Bhd. dan OpenSoft Sdn. Bhd.
