Kota Damansara – Pelantun lagu Mawarku, kumpulan 2by2 kini mengorak langkah dengan menjalankan perniagaan laman makan (food court) di Kampung Melayu Subang sebagai menjana pendapatan tambahan pada masa ini.
Dangau 2by2 Food Station yang telah beroperasi lebih sebulan itu, mempunyai 28 gerai yang hampir keseluruhannya telah disewa oleh para peniaga. Dengan berkonsepkan santai ala kampung, ianya sesuai dijadikan lokasi lepak dan makan untuk sesiapa sahaja.

Vokalis, Zul, 51, atau nama sebenarnya Zulkifli Majid berkata, kumpulan 2by2 tidak pernah berpecah dari dulu cuma kekangan masa disebabkan setiap anggota kumpulan mempunyai tanggungjawab dan komitmen kerja yang lain membataskan mereka untuk bersama membuat persembahan.
“Setiap ahli kami ada komitmen kerja sendiri jadi masing-masing sibuk dengan urusan, namun kami tidak pernah berpecah atau meninggalkan terus dunia seni.
“Macam saya sendiri masih aktif dalam dunia seni tetapi lebih ke arah penjurian program nyanyian di Malaysia dan Indonesia, jadi tercetusnya idea untuk membuka food court ini setelah diajak oleh Faizal untuk berniaga dan saya rasa ini satu cadangan yang baik untuk menjana lebih pendapatan sampingan.

“Kami buka Dangau food station ini dengan hasil usaha dan kewangan sendiri, jadi ia memakan masa kerana kami lakukan sedikit demi sedikit secara berperingkat sehingga berjaya dibuka pada bulan Ramadan yang lalu” katanya dalam majlis perasmian Dangau 2by2 Food Station.
Jelasnya lagi, Dangau 2by2 Food Station ini juga turut membuka platform kepada muka-muka baru untuk mencungkil bakat nyanyian dalam pertandingan karaoke dan akan diketengahkan menjadi artis rakaman bagi membawa lagu-lagu yang dicipta sendiri oleh Zul.


Dangau 2by2 Food Station dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara YB Shatiri Mansor dan dibuka setiap hari bermula jam 11.30 pagi hingga 12 malam.
Zul, Faizal dan Man ketika ditemui turut menyatakan hasrat untuk membuat pesembahan atau menyanyikan lagu duet baru bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai mengangkat kembali nostalgia kejayaan lagu Mawarku yang popuar sejak tahun 1996.
“Kami sangat berbesar hati jika Tokti sudi berduet kembali bersama kami dan ini juga salah satu dari perancangan untuk comeback disamping membuat konsert secara kecil-kecilan kerana kami sendiri tidak sangka masih ada permintaan dari para peminat untuk melihat kami beraksi diatas pentas” ujar Zul.

Anggota 2by2, Man atau nama sebenarnya Neziman Romli memberitahu, 2by2 juga turut gembira untuk bergabung kembali dengan beberapa penyanyi wanita lain yang pernah berduet dengan mereka antaranya Liza Hanim, Anis Suraya, Mazleela dan Noraniza Idris.
Sebagai rekod, 2by2 dianggotai oleh empat orang ahli; Zulkefli Majid (Zul), A Halim Mamat (Halim), Neziman Romli (Man) dan Muhammad Faizal Ismail (Faizal). Nama kumpulan ini mula menjadi perhatian pada tahun 1996 apabila merakamkan semula lagu lama, Mawarku secara berduet dengan penyanyi tersohor tanah air Datuk Seri Siti Nurhaliza. Album pertama mereka yang memuatkan lagu tersebut mendapat sambutan di luar jangkaan sehingga mencatatkan jualan melebihi 150,000 unit di pasaran.
