FB_IMG_1687366309545

Kuala Lumpur – Program Liga Usahawan Wanita Selangor merupakan sebuah acara berimpak tinggi dengan matlamat untuk memperkasakan wanita B40 melalui pembinaan kemahiran, ilmu dan sumber diperlukan dalam menjana pendapatan yang mampan menerusi peluang pekerjaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Keusahawanan, Negeri Selangor, Yang Berhormat Rodziah Ismail, program itu bertujuan untuk membangunkan taraf ekonomi wanita dari keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal dan wanita asnaf dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY).

Program tersebut adalah berteraskan latihan keusahawanan, sokongan mentor dari industri, sokongan kewangan dari segi pinjaman dan geran serta rangkaian strategik komuniti perniagaan.

“Kerajaan Negeri di bawah portfolio pembangunan usahawan menyediakan banyak program perkembangan perniagaan yang boleh diikuti pemenang, Sekiranya mereka perlukan geran atau dana untuk kembangkan produk kita ada bantuan pinjaman selain sediakan bantuan geran untuk peralatan atau bantuan pembungkusan.

“Dengan cara ini kita yakin sekiranya mereka telah bersedia, pentadbiran negeri akan beri peluang usahawan berjaya ini ke luar negara namun ikut skala kemampuan mereka,” katanya.

Pada program Ikon Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 anjuran Selangor Youth Community (SAY) ini, seramai 10 usahawan wanita terbaik daripada 30 peserta  diberi peluang membuat pembentangan perniagaan di hadapan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan empat juri lain.

Program kali ini mengangkat tiga (3) orang usahawan wanita sebagai pemenang yang mengusahakan pelbagai jenis perniagaan berskala kecil dan sederhana.

Sofea Chan Shu Fen Abdullah, 46, seorang wanita mualaf yang memulakan perniagaan produk snek kulit popiah pelbagai perisa sejak 2018 menjadikan cabaran kejatuhan ketika pandemik covid 19 sebagai pembakar semangat untuk terus bangkit.

Dinobat sebagai juara, beliau yang berasa teruja dan terharu meletakkan kemenangan ini sebagai landasan untuk terus maju dan mampu membawa produknya ke peringkat lebih tinggi.

Menghasilkan dan memasarkan snek Pop Yummy, produk ini memiliki 4 perisa antaranya; Spicy cuttlefish seaweed cracker, Snow white mini roll, Salted egg cereal cracker dan Crispy churros stix. Jelasnya, pada masa ini pemasaran dilakukan secara dalam talian dan secara fizikal di pasaraya Malakat Mall dan Halal Expo.

Bagi Naib Juara, Nor Sabrina Nor Saidi, 37, berhadapan dengan dugaan penyakit saraf (Chiari Malformation type 1) dan mengalami jangkitan kuman pada otak, sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang mencari rezeki yang halal.

Bermula pada tahun 2019, beliau dan suami menjalankan perniagaan servis jahitan cover stereng kereta. Bergerak secara kecil-kecilan, kini mampu menarik nafas lega apabila perniagaannya mula mendapat perhatian selepas diiklankan melalui aplikasi Tiktok.

“Alhamdulillah, servis kami mendapat permintaan yang tinggi di seluruh Malaysia dan saya berhasrat akan membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berkemahiran untuk bersama kami bagi memenuhi volume tempahan.

“Servis kami 100% jahitan tangan dan ada warranty selama 1 tahun dan ia mampu bertahan sehingga 5 hingga 6 tahun bergantung pada penjagaan” jelasnya.

Tambahnya lagi, beliau amat berharap kepada para wanita yang terkesan dengan masalah ekonomi, keluarga dan kewangan agar terus gigih bangkit untuk keluar dari segala permasalahan. Katanya, setiap wanita juga harus berani mencuba apa sahaja yang mampu membantu meningkatkan taraf hidup.

Pemenang tempat ketiga, Fauziah Abdus Somad, 35, meletakkan harapan agar masyarakat gemar memakan sayur-sayuran sebagai amalan pemakanan sihat.

“Saya menghasilkan produk kerepek berasaskan sayur-sayuran agar orang ramai gemar menikmati makanan sihat walaupun ianya sekadar snek namun masih mampu memberi khasiat yang baik kepada tubuh badan” katanya kepada Malaysianews TV.

Memulakan perniagaan pada 2016, produk Parre Chips yang berasaskan peria goreng dihasilkan dengan ramuan kurang minak dan garam bagi memberikan orang ramai satu snek kudapan sihat. Selain itu, beliau juga turut menghasilkan serunding halia, kepingan bawang goreng dan serunding manjakani.

Meletakkan harapan agar mampu lebih berjaya dalam perniangaan, beliau berkata, Liga Usahawan Wanita Selangor telah banyak membimbing dan mendidiknya menjadi usahawan yang berani dan berdaya saing.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading