f52e267f-5e1e-4ffa-96af-522f883b28c8

Kuching – Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, YB Dato Haji Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengumumkan kiraan detik 14 hari menuju Festival Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) dan pengumuman Bintang Selebriti untuk acara berprestij itu.

“Ia adalah ikon K-Pop dan bintang filem Rain dari Korea Selatan,” umumnya semasa menghadiri tayangan perdana filem pembukaan AIFFA, Sumpahan Jerunei.

Selepas pertimbangan yang teliti, keputusan Pengurusan AIFFA untuk menjemput Rain sebagai tetamu Khas AIFFA 2023 adalah berdasarkan bakat luar biasa beliau seperti yang ditunjukkan melalui Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang turut membantu menarik jutaan pengunjung ke Korea Selatan dan mewujudkan minat di peringkat global.

Bakatnya yang luar biasa menjangkau industri muzik dan filem kerana dia seorang penyanyi, penulis lagu, pelakon dan penerbit muzik. Dia telah bekerja dalam filem di Korea Selatan dan juga untuk Hollywood. Beliau juga terkenal dengan kerja-kerja sukarelawan termasuk menyusun banyak acara dan konsert untuk pelbagai tujuan amal.

Peminat Rain dijemput untuk bertemu dan bersalaman dengannya pada 4 Ogos ini di Taman Old Courthouse jam 3.30 petang. Mereka juga dijemput memberi sokongan kepada artis kesayangan itu di Malam Gala AIFFA 2023. Tiket dijual melalui pautan Facebook FESTIVAL & AWARDS FILEM ANTARABANGSA ASEAN, laman web atau hubungi talian 017-6306851. Selain itu, tiket-tiket juga boleh didapati di gerai jualan AIFFA di Old Courthouse bermula dari 2 hingga 4 Ogos.

YB Menteri turut menjemput penduduk setempat menghadiri festival 3 hari itu bagi menikmati pelbagai acara dan tayangan filem percuma yang akan ditayangkan bagi memeriahkan acara tersebut.

Pengarah Festival, Livan Tajang menambah bahawa ramai bintang dan pengarah filem ASEAN juga akan hadir kerana mereka bersaing untuk anugerah AIFFA. Acara itu juga terbuka kepada sesiapa yang berminat dengan industri perfileman dan kebanyakan aktiviti terbuka kepada orang ramai dan adalah percuma.

Beliau berkata filem yang disenarai pendek itu kini diadili oleh juri AIFFA dari pelbagai negara yang kemudiannya akan berada di Kuching untuk memilih pemenang daripada kalangan calon.

Filem Sumpahan Jerunei merupakan filem pertama AIFFA sebagai filem yang memaparkan kandungan adat budaya kaum di Sarawak dan akan ditayangkan untuk perwakilan ASEAN pada Malam Pembukaan. Produksi Seni Dua puluh Dua Puluh Sdn. Bhd, diketuai oleh Dato Nancie Foo dan Datin Dr. Wendy Wong serta beberapa pelakon dan kru turut hadir pada malam tayangan perdana ini. Mereka termasuk Bront Palarae, Uqasha Senrose, Syafie Nawip, Ruminah Sidek, Yuyun Hikmah, Ali Mohamad, Tommy Black, dan Uncle Sil. Filem ini akan mula ditayangkan pada 27 Julai di pawagam GSC di seluruh Malaysia.

Sebagai tambahan, Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) ialah pertandingan dwitahunan untuk pembikin filem dari 10 negara ASEAN. AIFFA ini diluluskan oleh Sekretariat ASEAN sebagai salah satu aktiviti bersama untuk kumpulan serantau. Ia pertama kali dianjurkan pada 2013 dan kini dalam edisi keenamnya.

Acara ini diadakan di Kuching, Sarawak selama 3 hari dan dinilai oleh juri antarabangsa serta ASEAN. Ia menawarkan anugerah dalam 17 kategori meliputi semua aspek utama bidang kreatif dan teknikal pembikinan filem.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading