Kuala Lumpur – Penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menzahirkan hasrat secara terbuka untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran S N Syed Abdul Aziz berkata, pihaknya kecewa dengan sikap Timbalan Perdana Menteri, yang juga Presiden UMNO yang membisu dengan tiada sebarang langkah untuk memberikan keadilan kepada Najib.
Ahmad Zahid diselar kerana menjadikan seolah-olah UMNO sebagai milik individu, selain sesiapa sahaja yang menyuarakan pendapat bertentangan akan dipecat atau digantung.
“Sebagai ahli Umno kami telah hilang kepercayaan terhadap Presiden kerana menjadikan seolah-olah parti itu milik individu.
“Sesiapa sahaja yang menyuarakan pendapat bertentangan akan dipecat atau digantung.
“Justeru, kami dengan ini menzahirkan sokongan kepada PN dan menyeru semua ahli di bawah naungan kami untuk bersama menyokong PN.
“Kami berharap sokongan kepada PN akan membangkitkan semula keadilan kepada Najib dengan menurut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tindakan itu dibuat kerana kecewa keadilan untuk Najib yang dimohon kepada Kerajaan Madani sehingga sekarang tidak dipedulikan.
Dalam pada itu, Syed Muhammad Imran berkata, pihaknya juga jelek dengan tindakan Ahmad Zahid yang didakwa terus menerus mempergunakan mereka.
“Nyata sekali Ahmad Zahid tiada keinginan untuk memberi keadilan kepada Najib.
“Tetapi Ahmad Zahid diam menikus apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menutup pintu keadilan, walaupun ada kenyataan SPRM yang sepatutnya boleh mencetus perbicaraan semula yang lebih adil.
Sementara itu, Syed Muhammad Imran berkata wakil peguamnya telah menghantar surat saman terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam susulan dakwaan memfitnahnya sebagai ‘budak Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainudin)’.
“Kita telah hantar surat saman kepada beliau untuk jawab dalam masa tujuh hari, saya tak pasti beliau sudah terima atau belum surat saman berkenaan untuk permohonan maaf.
“Jika beliau tidak membuat permohonan maaf ini, kita jumpa di mahkamah kerana apa yang dia cakap semuanya fitnah,” katanya.
