Subang Jaya – Kejohanan sulung MDC Charity Pickleball Open 2026 berjaya mencuri perhatian ramai apabila bukan sahaja mengetengahkan sukan pickleball yang semakin popular, malah turut membawa misi kebajikan bagi membantu golongan anak yatim dan kurang bernasib baik.
Program anjuran MDC Ventures dengan kerjasama Persatuan Jalinan Kasih Muhibbah serta Pickle Banana Club itu diadakan bersempena Bulan Amal tahunan Allianz Malaysia Berhad dan sambutan ulang tahun ke-25 syarikat berkenaan.
Pengerusi MDC Ventures, Cody Yip berkata, sebanyak 100 peratus hasil kutipan yuran penyertaan akan disalurkan kepada tiga rumah kebajikan terpilih iaitu Good Samaritans Home, Pertubuhan Kebajikan Asnaf Raudhatul Jannah dan Persatuan Kebajikan Wen Hua KL & Selangor.

Kejohanan yang berlangsung dengan sambutan menggalakkan itu berjaya menarik penyertaan penuh membabitkan 60 pemain yang beraksi secara beregu dengan yuran RM300 bagi setiap pasangan.
Apa yang lebih membanggakan, sasaran awal kutipan dana sebanyak RM12,000 berjaya dilepasi apabila pihak penganjur menerima sokongan luar biasa daripada peserta dan penaja sehingga berjaya mengumpul tambahan lebih RM20,000.
“Penganjuran kejohanan ini bukan sekadar platform sukan semata-mata, sebaliknya menjadi medium untuk masyarakat bersama-sama menyumbang kepada golongan memerlukan.
“Kmi komited memastikan keseluruhan hasil kutipan disalurkan terus kepada rumah kebajikan tanpa sebarang potongan kos operasi, setiap sen yang disumbangkan benar-benar sampai kepada anak-anak yang memerlukan.
“Semua kos penganjuran ditanggung sepenuhnya oleh para penaja korporat dan MDC Ventures sendiri. Peserta hanya perlu hadir, bermain dan pada masa sama membantu mencipta masa depan lebih baik buat mereka,” tambahnya lagi.

Sementara itu, wakil Persatuan Jalinan Kasih Muhibbah, Agnes Chua berharap kejohanan itu dapat diteruskan sebagai acara tahunan memandangkan sambutan diterima sangat positif daripada komuniti pickleball serta orang ramai.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut akan disempurnakan oleh tetamu kehormat khas, YM Tengku Dato’ Dr Hishammudin Zaizi yang dijangka menyuntik semangat kepada peserta serta memperkukuhkan nilai kemasyarakatan dalam kalangan komuniti setempat.
Inisiatif tersebut juga selari dengan agenda Allianz4Good menerusi teras ‘Community’ yang memberi fokus kepada pembangunan sosial mampan dan usaha memperkasa golongan kurang bernasib baik.
Pelbagai syarikat dan jenama turut tampil memberikan sokongan bagi memastikan kejohanan amal itu berjalan lancar termasuk Grand Pickleball Arena selaku penaja venue rasmi, Franklin sebagai penaja bola rasmi serta KQ Sports House dan MDC sebagai penaja jersi rasmi. Turut menyokong ialah Gastronomy Inc, Green Growers, Greenbytes, Science in Skin dan Infinity Glow.

Selain itu, penaja Platinum terdiri daripada Fastman Studios, Another Door Interior Studio dan Orlando Made to Fit, manakala KOS tampil sebagai Penaja Emas serta Dove Teah Academy dan Martini Motorsport sebagai Penaja Perak.
Penganjuran kejohanan berkenaan membuktikan bahawa gabungan sukan, komuniti dan tanggungjawab sosial mampu memberi impak besar dalam membantu golongan memerlukan, khususnya anak-anak yang memerlukan perhatian dan sokongan masyarakat.
