Gombak – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham percaya terus mendapat sokongan daripada pengundi untuk mempertahan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.
Muhammad Hilman berkata, rakyat Gombak akan memberi sokongan kepadanya dan Perikatan Nasional (PN) bagi meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat mereka.
Menurutnya, beliau masih berkeyakinan warga Gombak akan meneruskan sokongan mereka kepada Perikatan Nasional (PN) dan dirinya untuk meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun beliau juga mengakui lawannya mempunyai kelebihan tersendiri kerana pihak berkenaan adalah sebahagian daripada kerajaan persekutuan dan negeri.
“Tetapi bagi saya, rakyat hari ini cukup bijaksana membuat pilihan yang objektif.
“Pada masa sama landskap politik juga berubah, landskap politik yang berlaku hari ini sama sekali tidak sama (seperti) landskap politik pada PRU lalu.
“PRU lalu pertandingannya tiga penjuru antara tiga gabungan yang besar, pada kali ini landskap politik berbeza sebab ada dua gabungan saja,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pengamal Media dan Influencer Media Sosial di Pusat Khidmat Rakyat Dun Gombak Setia, di sini, hari ini.
Pada pilihan raya lalu, Muhammad Hilman memenangi DUN Gombak Setia menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH), beliau memenangi pertandingan tiga penjuru apabila meraih jumlah undi sebanyak 24,157.
Bagi PRN ini, Muhammad Hilman sekali lagi akan berjumpa dengan pencabarnya iaitu Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan seorang lagi calon Bebas.
