WhatsApp_Image_2023-08-04_at_23.40.24_1691164863

Kuching – “Saya dan Datin Sofea Jane rapat seperti keluarga, beliau sangat baik dengan arwah isteri”.

Begitulah jawapan Datuk Ahmad Tamimi Siregar ketika ditanya mengenai reaksi sebak Datin Sofea Jane di atas pentas ketika mengumumkan namanya dinobat sebagai penerima Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Antarabangsa (AIFFA) 2023.

Katanya, beliau sama sekali tidak menyangka namanya diumum sebagai pemenang.

“Ketika Datin Sofea membuka sampul nama pemenang, beliau terdiam sebentar dan kelihatan sebak sedikit lalu menyebut nama saya untuk naik ke pentas.

“Pada waktu itu, saya tidak merasa apa-apa dan terus naik sahaja ke atas pentas, ketika diatas pentas beliau mengucapkan tahniah dan nampak riak wajahnya yang sebak. Saya faham apa yang beliau rasa apabila nama saya dipilih sebagai pelakon terbaik di pentas Asean” jelasnya.

Tamimi yang menerima anugerah tersebut melalui filem Perjalanan Pertama menjadi karya sulung beliau dipilih melakonkan watak utama selepas empat dekad terbabit dalam bidang lakonan.

Beliau turut berterima kasih kepada pengarah filem itu, Arief Malinmudo yang mempercayai bakat saya untuk menjayakan watak Tan iaitu datuk kepada seorang cucu bernama Yahya lakonan pelakon kanak-kanak Indonesia, Muzakki Ramdhan.

“Secara jujur, sepanjang hidup saya yang di umur sekarang sudah 72 tahun, ini pertama kali saya memegang watak utama dalam filem dan drama. Sebelum ini tak pernah. 

“Apa pun saya nak ucapkan terima kasih kepada pengarah Arief Malinmudo kerana memberi kepercayaan kepada saya walaupun ada ura-ura ketika itu mahu diberikan kepada pelakon lain, tapi Arief kata kalau pelakon lain dia tak buat” jelasnya lagi. 

Tambahnya lagi, beliau telah dihubungi oleh pengarah filem Perajalanan Pertama itu pada petang sebelum acara berprestij itu bermula. Pengarah filem tersebut menjemputnya untuk sama-sama hadir ke Malam Gala tersebut.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana memberi kesihatan yang baik untuk terus berkarya, Alhamdulillah dan semoga tuhan terus memberi saya kekuatan dan kesihatan yang baik agar masih mampu terus dalam industri ini.

“Waktu penggambaran umur saya 70 tahun, sekarang sudah 72. Alhamdulillah, dimohonkan kesihatan. Sakit-sakit sikit adalah, tapi mungkin semangat itu kuat. Ketika penggambaran lupa mengenai sakit. Ia satu ubat yang tak boleh dibayar dan ia datang sendiri” ujarnya.

Filem Perjalanan Pertama adalah hasil kerjasama dua syarikat produksi dari dua negara iaitu Mahakarya Pictures (Indonesia) dan D Ayu Pictures (Malaysia). Dua pelakon utamanya juga berasal dari dua negara, Ahmad Tamimi (Malaysia) dan Muzzaki (Indonesia).

Leave a Reply