Jerantut – “Orang Asli perlu sedar pentingnya memiliki kad pengenalan dan surat beranak, ia ibarat nyawa kita”, begitulah saranan Tok Batik Kampung Kuala Atok Hussin Dayak, yang bertanggung jawab memujuk dan memberi kesedaran kepada penduduk kampung dari suku kaum Bateq di Daerah ini.
Jelasnya, beliau amat berterima kasih kepada agensi kerajaan yang terlibat seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang banyak memudahkan permohonan dokumen penting itu.

“Bukan mudah untuk memujuk mereka namun dengan kerjasama banyak pihak, akhirnya mereka faham dan bersetuju untuk memohon kad penganalan dan mendaftar kelahiran anak-anak yang dilahirkan.
“Dokumen pengenalan diri sangat penting kerana memudahkan untuk pendaftaran sekolah dan mendapatkan rawatan di hospital, dengan adanya kad pengenalan jadi mudah untuk kami Orang Asli memohon bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan” katanya ketika ditemu bual.
Program ini turut dijayakan dengan kerjasama pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan RYTHM yang juga sebagai pengasas beberapa inisiatif kemasyarakatan bagi memudahkan Orang Asli kaum Bateq ini dari segi pelajaran, kemudahan asas dan kemahiran.
Ketua Yayasan RYTHM Santhi Periasamy berkata, inisiatif ‘Sekulah Bateq’ di Kampung Kuala Atok telah dijalankan sejak tahun lepas bagi membolehkan lebih 40 pelajar kaum Bateq mendapatkan pendidikan asas dengan bantuan daripada guru Sekolah Kebangsaan (SK) Merting, di sini.

“Dengan pendidikan ia dapat mengubah corak pembangunan Orang Asli supaya dapat menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa depan.
“Kami juga menyokong kuat usaha pihak kerajaan dan sekolah untuk mereka ini mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah bagi memudahkan urusan harian serta akses kepada pelbagai bantuan yang telah diperuntukkan” jelasnya.
Tambahnya lagi, tanpa dokumen pengenalan diri yang sah, mereka sukar untuk meneroka kehidupan yang lebih membangun diluar dan berterusan menjadi golongan terpinggir, bila ada sijil kelahiran dan MyKad ia memberi lebih keyakinan untuk tahu hak mereka terutama dari segi pendidikan.
“Rata-rata mereka tidak tahu berapa umur dan tahun kelahiran, jadi pentingnya ada dokumen ini untuk rekod diri” ujarnya lagi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JAKOA Pahang Ahmad Marzuki Salleh berkata, menjadi tanggung jawab agensi ini bersama JPN memastikan setiap Orang Asli mempunyai dokumen pengenalan diri bagi memudahkan pihaknya mengenal pasti data diri mereka dan menyalurkan bantuan tidak kira dari segi pendidikan, kewangan, kemudahan asas, kesihatan dan sebagainya.

“Pada mulanya kita sasarkan permohonan hanya daripada penduduk Kampung Kuala Atok dan Kampung Sungai Tekal, tetapi ia turut mendapat sambutan daripada penduduk kampung berhampiran dan kita akan cuba membantu mereka sebaiknya dalam proses permohonan berkenaan.
“Pada awalnya, sasaran kami adalah seramai 80 orang, namun semasa program ini berlangsung ada yang datang secara walk in kerana mereka sudah sedar kepentingan dokumen ini” katanya pada Program Transformasi Minda Insan Sub Aktiviti Program Kecemerlangan Akademik dan Sahsiah Diri Daerah Jerantut di SK Merting, di sini semalam.
Penolong Pengarah JPN Negeri Pahang, Muhammad Izad Farhan Baharudin menjelaskan, pihaknya menggunakan kepakaran dalam mengenal pasti umur dan tahun kelahiran Orang Asli yang memohon dokumen ini.

“Rata-rata yang datang tidak tahu bila tahun dan tarikh lahir sendiri, jadi disini kami menggunakan kepakaran yang ada untuk mengenal pasti secara logik dengan melalui sesi soal jawab bersama ibu bapa ataupun bidan yang menyambut kelahiran.
“Dari situ kita akan mengira usia pemohon melalui jarak umur ibu bapa atau melalui musim sewaktu kelahiran bayi mereka, seperti contoh jika musim hujan jadi kami dapat pastikan bulan kelahiran antara November atau Disember” katanya kepada Malaysianews TV.
Dalam program ini, sebanyak 208 permohonan telah dikemukakan kepada JPN dan akan berterusan bagi fasa 2 pada bulan Oktober nanti.
