Kuala Lumpur – “Saya bangga kerana dapat membantu pesakit menjalani pembedahan bariatrik, sekali gus membolehkan pesakit menjalani gaya hidup lebih baik, kata pakar perunding pembedahan dan bariatrik, Dr Mustafa Mohammad Taher, 47.
Mustafa yang berasal dari Iraq mendapat pendidikan di Kolej Perubatan Universiti Baghdad dan menetap di Malaysia lebih 17 tahun adalah Pakar Perundingan dan Pembedahan di Pusat Perubatan Hospital Cengild, Bangsar, Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Mustafa pernah berkhidmat sebagai pakar pembedahan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula 2012 hingga 2019.
Beliau yang terkenal melalui perkongsiannya mengenai kesihatan di laman media sosial Instagram dan Tik Tok berkata, anugerah ini mendorong beliau untuk terus memerangi obesiti dengan meningkatkan kesedaran kesihatan kepada orang ramai mengenai penyakit itu.
“Pembedahan bariatrik membolehkan pesakit mendapat peluang ke dua ke arah kehidupan kesihatan lebih baik dan meningkatkan keupayaan fizikal dalam mengurangkan berat badan serta merawat masalah kencing manis serta darah tinggi dihadapi pesakit.
“Kebanyakan pesakit yang berlebihan berat badan akan mengalami beberapa masalah refluks yang juga punca utama pembentukan kanser di esofagus atau perut, dan pembedahan bariatrik boleh menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau telah berjaya menjalankan lebih 800 pembedahan bariatrik setiap tahun bermula pada tahun 2019.
Pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan bariatrik bukan hanya sekadar dilayan ketika sedang mendapatkan rawatan sebaliknya, mereka akan dipantau sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun.
Langkah itu bagi memastikan pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan tersebut akan sentiasa berada dalam keadaan sihat serta tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan mahupun komplikasi selepas itu.
Jelasnya lagi, peralatan pembedahan kebiasaanya diguna pakai untuk sekali pembedahan sahaja dan tidak digunakan lagi bagi menjaga kebersihan dan mengelakkan sebarang infeksi kepada pesakit.

Beliau turut menambah, pihaknya juga turut menaja beberapa orang asnaf yang berkelayakan dan memerlukan pembedahan ini untuk jaminan kesihatan yang lebih baik.
“Pembedahan ini sangat membantu masalah kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis, reproduktif dan fertiliti, gerd dan sebagainya” ujarnya.
Turut hadir para selebriti yang pernah menjalani pembedahan bariatrik dengan beliau antaranya; Ziana Zain, Zarina Zainuddin, Datuk Ziela Jalil, Dato’ Khadijah Ibrahim, Liza Abdullah dan beberapa individu lain yang berjaya.
Beliau juga memberitahu bakal mengadakan sebuah konsert artis terkenal pada bulan November ini bagi mengumpul dana membantu orang ramai yang kurang berkemampuan menjalani pembedahan ini.
