20230904_154500

Kuala Lumpur – Datuk Zainal Abidin bakal mengadakan sebuah konsert sempena meraikan ulangtahun ke 40 pembabitannya di dalam industri seni tanah air. Konsert yang diberi nama “Tiba Masa… Zainalabidin” akan berlangsung pada 29 dan 30 September 2023 nanti di Panggung Sari, Istana Budaya.

Selain mengubat kerinduan peminat, konsert tersebut dipadatkan dengan sebuah jalan cerita perjalanan kariernya yang merangkumi puluhan lagu popular miliknya.

“Konsert ini sangat istimewa dan hadiah untuk peminat setia dan artis muda.

Saya sangat harap mereka hadir kerana banyak ilmu yang akan saya taburkan selain ingin berkongsi pengalaman selama 40 tahun dalam industri muzik,” ujarnya.

Berkongsi pengisian konsert, bekas vokalis kumpulan Headwind itu menjanjikan akan tampil dengan beberapa elemen kejutan.

“Konsert ini tiada gimik, tetapi penuh dengan elemen kejutan. Istimewanya ialah kumpulan Headwind akan muncul dalam segmen pembukaan.

“Banyak lagu hit bersama Headwind akan dinyanyikan pada malam istimewa itu nanti termasuk karya dalam album solo terdahulu seperti Zainal Abidin, Gamal, Terang…Sang dan Puteri.

Kini, Zainal hadir dengan buah tangan terbaharu berjudul Tiba Masa yang dilancarkan secara rasmi hari ini.

“Tiba Masa adalah kesinambungan selepas 30 tahun lagu Hijau. Waktu itu saya bercakap dan memberi nasihat mengenai kesedaran, jadi sekarang adalah masa menuai hasil daripada nasihat itu.

“Liriknya menitipkan mesej mengenai perdagangan, peperangan, tempat berteduh, pembangunan, pusaka alam dan harta dunia,” katanya mengenai lagu ciptaan Michael Veerapan dan lirik oleh Mukhlis Nor itu.

Menurut Zainal, Tiba Masa adalah satu lagi karya yang dihasilkannya untuk rakyat Malaysia, yang mana diselitkan dengan pelbagai elemen.

Katanya, muzik juga menjadi medium terbaik untuknya mendekati masyarakat.

“Sekarang saya rasa perkara yang paling kuat memberi pengaruh dan perlu diberi kesedaran adalah kehidupan rakyat yang harmoni. Tak boleh bezakan sebab ia akan merosakkan negara. Muzik adalah ‘kenderaan’ yang baik untuk saya sampaikan kepada setiap rakyat. Syaratnya lagu itu sendiri kena bagus,” katanya.

Dalam masa sama, video muzik Tiba Masa turut dilancarkan yang menggunakan teknologi AI dan diarahkan oleh isteri beliau, Datin Angelina Asmawi.

Leave a Reply