IPOH – Kadar bayaran tiket memasuki Galeri Rumah Lat yang menempatkan hasil seni Seniman Diraja Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat, kini masih menunggu kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak yang akan bermesyuarat bulan ini.
Beliau berkata setakat ini, pengunjung masih boleh memasuki galeri yang dirasmikan 8 Julai lepas itu secara percuma sementara kadar bayaran tiket diputuskan dan diumumkan kelak.
Mohamad Amir berkata sejak dibuka, Galeri Rumah Lat telah menerima lebih 30,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri Perak.
“Kita juga menerima pengunjung dari Singapura dan Jepun yang turut memberikan sokongan yang mahu menikmati pemandangan Rumah Bumbung Lima atau Rumah Limas yang mengabadikan sejarah kehidupan Seniman Diraja Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat sepanjang bergelar kartunis,” katanya.
Beliau berkata keputusan tidak mengenakan kadar bayaran masuk sebelum ini dibuat untuk memberi penghargaan kepada Lat termasuk meraikan peminat-peminat kartunis itu.
Lat sebelum ini pernah meluahkan harapan agar kadar tiket masuk ke galeri itu mampu milik dan tidak keterlaluan kerana pengunjungnya terdiri daripada masyarakat awam dan kanak-kanak.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan merasmikan galeri itu di Jalan Bemban, dekat Batu Gajah.
Galeri yang dibina di atas tanah berkeluasan 0.0412 hektar itu menempatkan kesemua hasil karya seni yang dihasilkan Lat sepanjang tempoh kariernya sebagai kartunis sejak 1962.
Galeri itu beroperasi dari 10 pagi hingga 4 petang pada Selasa hingga Ahad, manakala Isnin ditutup.
— BERNAMA
