Kuala Lumpur – Sebut sahaja restoran Hameediyah sudah pasti kita akan teringat nasi kandar kuah campur banjir. Sebuah restoran yang popular di Pulau Pinang
Orang kata, tak sah kalau ke Pulau Pinang kalau tak beratur panjang untuk makan di restoran ini.
Terkini, Hameediyah sudah melebarkan operasinya di kawasan tiga segi Ibu kota. Hameediyah kini membuka Cawangan kelimanya yang bertempat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan dilihat benar-benar ke taraf lebih premium.

Berkonsepkan bistro, Hameediyah Bukit Bintang menyantuni penggemar nasi kandar dengan cara tersendiri.
Menurut pemilik Resotran Hameediyah ini, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim, konsep ini bersesuaian dengan lokasinya. Di sini, Hameediyah menawarkan kelaianan kepada para pengunjungnya, yang rata-rata dalam kalangan pelancong.
Muhammad Riyaaz yang merupakan Pengarah Hameediyah Sdn Bhd juga adalah generasi ketujuh dari pelopor restoran ini.
“Kita mahu pelancong tengok macam mana cara orang dulu berniaga nasi kandar. Mereka pakai ala orang lama dengan kain pelikat, baju-T pagoda serta bertali pinggang hijau ‘umrah’.
“Semua ini mengimbau kenangan restoran ini di awal pembukaannya dahulu,” katanya.
Restoran empat tingkat ini menjanjikan sesuatu kelainan daripada biasa.

Para pelanggan boleh memilih untuk duduk dimana-mana saja sama ada bistro di tingkat 1 dengan suasana mamak atau galeri yang berada di tingkat 2.
“Kalau berada di galeri, macam makan dalam muzium kerana kami ada letakkan koleksi barangan asal atuk nenek saya dulu berniaga.
“Ia dipamerkan di ruang ini, selain dinding-dinding juga kami hias cantik dengan lukisan kenangan mereka berniaga dulu.
“Sambil makan sambil dapat tahu sejarah asal Hameediyah,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, tidak lama lagi dua lagi tingkat restoran ini akan beroperasi iaitu berkonsepkan fine dining dan juga roof top. Nasi kandar atau beriani, semuanya masih sama, cuma dalam suasana berbeza. Anda kena cuba sendiri.
Menu-menu di sini juga masih mengekalkan keaslian dari negeri Pulau Mutiara namun ada beberapa menu baharu diperkenalkan sebagai signature baharu buat Hameediyah.
Antaranya rendang ayam, kari itik, lamb shank dan ayam turki (piru). Tidak ketinggalan menu sotong viral, ayam bawang, ketam serta mi goreng antara yang mendapat perhatian ramai.

Restoran Hameediyah Multi Concept Bukit Bintang juga terbuka bagi lokasi sebarang majlis atau acara.
Beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan 11 malam untuk Sabtu dan Ahad, restoran ini tidak jauh dari stesen MRT Bukit Bintang. Keluar sahaja pintu 18A, beberapa langkah sudah pun sampai.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran restorannya dan turut hadir, selebriti Dato’ Vida sebagai tetamu khas.
