Kuala Lumpur – Aisha Retno atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam dilahirkan pada 1 Ogos 2000 di Kuala Lumpur, Malaysia dan memiliki Ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Malaya.
Mula mencipta nama menerusi lagu popularnya ‘Mengikat Jiwa’, Aisha Retno kini antara yang diangkat sebagai salah seorang peserta Big Stage musim keempat (2022).
Menariknya tentang diri Aisha Retno, beliau mewarisi bidang muzik daripada ibunya yang berwarganegara Indonesia, Jean Retno Aryani yang merupakan bekas penyanyi era 1980-an sezaman dengan Hetty Koes Endang.
Beliau mula menunjukkan minat awal terhadap muzik sejak berusia lima tahun dan sewaktu di bangku sekolah, beliau pernah menyertai pertandingan nyanyian.
Terbaharu, Aisha Retno melancarkan lagu berjudul Ternoktah yang membawa dirinya meluahkan perasaannya melalui lagu yang bersandarkan situasi sekarang.

“Kebelakangan ini, ramai yang telah mengambil perhatian terhadap gelombang berita perpisahan yang melibatkan selebriti-selebriti terkemuka, seperti yang dipaparkan melalui medium media tempatan. Realiti ini telah membangkitkan simpati dalam diri Aisha, dan kemudiannya meluahkan ia melalui lagu yang mengisahkan kisah perpisahan dengan seseorang yang amat disayanginya,” kata Aisha Retno.
‘Ternoktah’ mengisahkan tentang perasaan yang sudah berakhir (tawar hati) akan sesuatu yang dicintai. Perpatah berkata ‘mencintai tidak bermakna memiliki’, meskipun cinta masih bersemayam di hati seseorang, tidak semestinya dapat memiliki.
“Tajuknya ‘Ternoktah’ jelas menggambarkan terhenti atau habisnya sesebuah hubungan percintaan. Boleh dikatakan, perpisahan bukan perkara janggal, ia normal dan banyak berlaku dalam masyarakat, sudah nama pun manusia biasa,” tambah Aisha Retno.
‘Ternoktah’ tidak hanya menyentuh emosi para pendengar, tetapi juga mengajak mereka untuk merenung tentang erti sebenar cinta dan kepahitan yang mengiringi kehidupan kita. Dengan penuh keberanian, Aisha Retno sekali lagi membuktikan bakatnya sebagai penyanyi dan pengubah lagu mampu menyampaikan mesej mendalam melalui harmoni suara yang unik dengan sempurna.

Mengulas lanjut, Aisha yang pernah menerima pencapaian Anugerah Emas (SAMIs) dengan penjualan lagu ‘W.H.U.T’ (Wanna Hold U Tight) menerusi penjualan strim digital di Malaysia dan Indonesia ini mengatakan bahawa interpretasi terhadap lagu terbarunya itu tidak terikat kepada kisah percintaan semata-mata. Sebaliknya, pendengar juga boleh mengaitkan dengan perkara disekeliling seperti perpisahan terhadap sesuatu hubungan.
“Skop lagu ini boleh dibuka lebih besar. Dalam kehidupan, kadang-kadang kita rasa tak mahu lagi lakukan sesuatu, atau mungkin kita rasa mahu mulakan lembaran baru dengan orang yang kita percaya. Justeru, sudah tentu kita meletakkan noktah pada cerita lama yang terdahulu,” tambahnya.
Kebolehan Aisha dalam menghasilkan lagu-lagunya sangat menekankan kelainan dan keunikan seperti ‘Sutera’ yang mempunyai unsur Muzik Tarian Elekronik (EDM). Kini, Aisha tampil dengan lagu balad yang unik dan padu untuk didengar oleh orang ramai. Hal ini membuatkan Aisha lebih teruja kerana dia sukakan cabaran bagi meningkatkan kebolehan pada dirinya.
‘Ternoktah’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.
