Kuala Lumpur – Berikutan isu kekurangan beras tempatan dan kenaikan harga beras import telah menjejaskan pengguna dan peniaga sehingga menimbulkan kemarahan segelintir pihak.
Bagi mengatasi masalah ini, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah berbincang dengan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) bagi bagi memberikan Permit import (AP) untuk beras.
Walaupun masih di peringkat perbincangan, namun usaha itu dilihat mampu membantu pengusaha-pengusaha restoran mengawal kenaikan harga makanan.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, peniaga di bawah persatuan itu akan cuba mengekalkan harga makanan sedia ada walaupun turut terkesan dengan kenaikan harga beras dan beberapa bahan mentah lain.
“Masalah kekurangan beras tempatan dan kenaikan harga beras import sudah tentu memberi kesan kepada peniaga. Bukan saja beras, beberapa bahan mentah lain seperti bawang pun naik.
“Tapi kami tiada niat untuk naikkan harga dalam masa terdekat. Dengan cara itu, sudah tentu keuntungan pun terjejas tapi kami akan cuba bertahan seboleh mungkin untuk kekal dengan harga sekarang,” katanya.

Jelasnya, pihaknya masih belum menerima perincian mengenai tawaran tersebut namun jika ia memberi keputusan menang-menang bagi kedua belah pihak dan membantu rakyat maka ia adalah satu solusi terbaik yang harus disegerakan.
“Masih dalam perbincangan dan belum ada maklumat lengkap lagi berapa jumlah beras yang akan dibekalkan, namun jika ia terbaik untuk pengguna tiada masalah untuk kita teruskan” katanya dalam sidang media Mesyuarat Agung Tahunan PRESMA kali ke 19.

Tambahnya lagi, tiada pemilihan pada AGM tahun ini dan khidmatnya sebagai Presiden persatuan diteruskan untuk dua tahun lagi.
