a7182311-20b6-482d-b8cd-8fbb8ddfb207

Serkam – Kesan daripada perniagaan membekal ayam yang merudum akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Muhammad Khoiri Sahat, 32 beralih kepada perniagaan makanan iaitu kambing, ayam dan daging perap.

Bermula dengan 20 kilo daging, Beliau mengusahakan produk berjenama Abang Kambing Perap 99 yang mempunyai kelebihan rahsia 23 rempah perapan yang dimasak selama lapan jam menjadi kegemaran ramai.

Disangka panas hingga petang, namun hujan di tengah hari apabila beliau diduga ditipu oleh pihak yang menempah 5,000 bungkusan daging perap dengan nilaian RM40,000 tetapi tidak mengotakan janji.

“Selepas diduga dengan kerugian tersebut, saya perbetulkan sistem pengurusan syarikat dan Alhamdulillah kini, mampu mengeluarkan sehingga 10,000 bungkusan daging perap sehari seberat 500 hingga 600 kilogram daging lembu, kambing dan ayam.

“Saya reda dengan ujian dan yakin Allah ingin saya belajar dari apa yang jadi” katanya.

Kini, syarikat Aqiil Sdn Bhd yang beroperasi di kawasan Perindustrian  Melaka Halal Hub yang memiliki perolehan sijil halal banyak membantu me­ningkatkan keyakinan pelanggan bahawa daging perap yang dikeluarkan adalah halal lagi bersih dan boleh dinikmati tanpa keraguan.

Muhammad Khoiri menambah, syarikatnya juga beroperasi menawarkan pembelian  secara borong untuk membuka peluang kepada usahawan membeli secara pukal dengan harga lebih rendah.

Ia juga didorong atas faktor membantu golongan peniaga memilih produk berkualiti  kerana daging perap keluaran syarikatnya telah menjalani  ujian kesedapan rempah perapan, pilihan daging segar serta sos tambahan untuk melazatkan lagi hidangan.

Mengakui daging perap kambing mempunyai pelbagai jenama di pasaran, namun beliau menganggapnya sebagai persaingan sihat. Tambahan pula kilangnya turut menawarkan Original Equipment Manufacturer (OEM).

“Saya pilih OEM  iaitu mengeluarkan produk di kilang  atas jenama pelanggan lain supaya lebih ramai pengguna benar-benar menikmati makanan berstatus halal kerana permintaan terhadap daging perap sangat menggalakkan.

“Kambing perap Aqiil juga menawarkan sos tambahan  untuk mengenakkan lagi setiap gigitan, antaranya perisa lada hitam, bawang putih asli dan pedas serta sos ala Thai. Selain dimasukkan di dalam pek daging, semua sos ini dalam perancangan untuk ditempatkan di kedai dan pasaraya terpilih pada penghujung tahun ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Melaka Halal Hub.

Jelasnya lagi, bagi membantu peniaga terutama yang baru berjinak dalam dunia perniagaan, beliau menawarkan juga perkhidmatan rekaan sticker, video dan fotografi untuk tujuan pasaran dalam media sosial termasuk copy writing percuma.

“Bergantung kepada pakej yang dipilih, ini disebabkan berlaku perubahan sistem pemasaran secara peruncitan manual kepada jualan dalam talian kebelakangan ini yang memerlukan sokongan promosi mengikut trending,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, selepas tular melalui komen-komen positif dari pelanggannya, produk daging perap OEM syarikatnya mula mendapat permintaan ramai dan antaranya beberapa orang selebriti yang ingin mengeluarkan jenama sendiri.

Leave a Reply