Kuala Lumpur – Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menitipkan doa kesembuhan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijangkiti Covid-19 dilihat memberi terjemahan bahawa kedua-dua pemimpin itu dalam hubungan baik.
“Saya dimaklumkan bahawa mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan sedang dirawat di HKL selepas disahkan positif COVID-19.
“Saya doakan semoga Allah SWT memberikan kesembuhan kepada Datuk Seri Najib Razak dan dipermudahkan urusan kepada beliau,” tulisnya dalam entri di Facebook, pada Jumaat.
Sebelum ini, Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi memaklumkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas beliau mengadu demam.
Kemas kini yang dimuat naik Ahli Parlimen Pagoh itu menerima pelbagai reaksi positif daripada pengikut-pengikut laman sosialnya, yang antaranya turut memuji sikap Muhyiddin yang prihatin terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Selain itu, ada juga yang berharap agar dua bekas Perdana Menteri itu seia-sekata dalam membangunkan bangsa dan negara.
Tindakan Muhyiddin itu juga disifatkan seakan memberi gambaran bahawa hubungan beliau dengan Najib pada tahap baik selain berkemungkinan membentuk kerjasama baharu atau sebaliknya kelak.
Untuk rekod, Muhyiddin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015 pada era kepimpinan Najib.
Muhyiddin mendakwa pemecatan beliau itu ekoran kelantangannya mempersoalkan mengenai 1Malaysia Deevelopment Malaysia (1MDB).
Bagaimanapun, Najib menyangkal dakwaan itu dan menjelaskan pemecatan Muhyiddin ekoran beliau berkomplot bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sejak tahun 2014, sebelum 1MDB menjadi isu.
Muhyiddin kemudiannya dipecat dari UMNO pada Mei 2016 sebab melanggar disiplin parti setelah hadir acara bersama pembangkang pada Mac 2016.
Sebelum ini, Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi memaklumkan bekas Perdana Menteri itu dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas beliau mengadu demam.
Najib dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani kuarantin dan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
