MTXX_MH20231120_115152343

Cyberjaya – Sebanyak RM9 juta telah direkodkan ekoran penipuan oleh syarikat pengendali perkhidmatan umrah bagi tahun ini.

Mendedahkan perkara itu, Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Roslan Mohammad berkata, jumlah itu direkodkan bermula Januari tahun ini, dimana 62 kes dilaporkan kepada polis melibatkan kerugian RM2.1 juta.

Sementara RM7.079 juta lagi dengan 355 kes direkodkan di Tribunal Tuntutan Pengguna  (TTPM).

“Pada 2021, tuntutan oleh orang awam mengenai kes scammer umrah RM150,000 manakala sejumlah RM3.7 juta bagi tahun 2022 dan RM9 juta bagi tahun ini,” katanya dalam ucapan sempena Hari Umrah Malaysia di Malakat Mall hari ini.

Tambahnya, jumlah tersebut meningkat tiga kali ganda berbanding tahun lepas dan statistik ini merupakan angka terbesar dan berada di tahap membimbangkan.

Oleh itu, MOTAC bercadang untuk melakukan penarafan terhadap agensi pengendali perkhidmatan umrah negara, dalam usaha meminimumkan risiko penipuan kepada orang awam.

“Cadangan ini telah kami bentang dalam Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang mana merupakan satu badan mesyuarat paling tinggi dalam membuat dasar berkaitan umrah di Malaysia.

Antara cadangannya ialah kita nak gredkan syarikat-syarikat umrah ini. Kaedah penggredan itu akan membantu daripada segi kualiti setiap agensi pengendali. Selain itu, ia turut membantu orang awam dalam membuat penilaian dan sebagainya,” katanya.

Berdasarkan rekod Motac, terdapat 531 agensi pengurusan umrah di peringkat ibu pejabat dan 394 lagi merupakan cawangan dengan sebahagian besar adalah ahli Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh) yang turut terlibat dalam sesi libat urus dengan Majlis Kawal Selia Umrah.

“Angka ini diluluskan operasinya, manakala sejumlah 245 agensi adalah dalam pemerhatian pihak MOTAC dan telah disenarai hitamkan kerana ada kes aduan daripada jemaah” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, penipuan sindiket umrah sukar untuk dihapuskan kerana terdapat syarikat yang tidak didaftarkan di bahagian pelesenannya.

“Nak hapuskan aktiviti penjualan dadah sampai hukuman gantung pun masih ada orang jual dadah, setidaknya kami dapat meminimakan penipuan kepada masyarakat,” katanya lagi.

Syarat penarafan gred itu memerlukan syarikat perkhidmatan umrah mempunyai kemudahan penginapan dan tiket penerbangan terlebih dahulu, sebelum mengiklankan perkhidmatan mereka.

Di samping itu, mereka perlu menyediakan perjanjian bersama jemaah sebelum tarikh penerbangan sebagai syarat tambahan penggredan tersebut.

Disamping itu, Timbalan Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa Pelancongan Malaysia, Hishamuddin Mustafa berkata, pihak Kementerian menyahut saranan Kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai Hab Umrah kepada semua jemaah Islam terutamanya yang dari kawasan rantau Asia Tenggara.

“Kerajaan percaya inisiatif ini akan dapat memacu dan merancak industri pelancongan negara secara keseluruhannya bukan sekadar sebagai negara transit kepada jemaah Islam yang ingin menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci tetapi menawarkan pakej- pakej pelancongan yang berkonsepkan Muslim Friendly kepada para jemaah yang mana secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan negara serta memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Muslim global.

“Inisiatif ini adalah selari dengan salah satu tunjang Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 bagi memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari”.” jelasnya.

Dalam masa sama, MOTAC yakin usaha ini berpotensi mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi bagi manfaat bersama, khususnya berkaitan usaha kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab transit pilihan bagi jemaah umrah yang melakukan perjalanan ke Arab Saudi melalui KLIA.

Sementara itu, Hari Umrah Malaysia (HUM) adalah program julung kali yang diadakan di Malaysia selepasmendapat inspirasi dari sebuah acara besar-besaran peringkat antarabangsa, MATTA fair.

HUM dianjurkan oleh YEG Academy dengan kerjasama Kolej Antarabangsa Innovatif, Suara Belia, Malakat Mall dan Brainy Bunch.

Program yang menghimpunkan lebih 20 buah agensi pelancongan di Malaysia ini menawarkan pakej umrah dengan harga ‘rahmah’ dan istimewa kepada pelanggan.

Selain itu, ia juga memberi kesedaran dan info kepada pelanggan bagi membasmi masalah ‘scammer’ pakej haji dan umrah. Hal ini kerana, kesemua agensi pelancongan yang terlibat dalam HUM ini adalah berdaftar dan mempunyai kredibiliti dalam industri pelancongan islamik.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading