Kuala Lumpur – TV Al Hijrah muncul dengan program realiti Pentas Marhabban bagi menghidupkan dan mengangkat seni islam berjanzi, marhaban, Rawi dan qasidah mengikut peredaran semasa.
Program yang baru membuka tirai pertamanya minggu ini mampu membawa metodologi dakwah yang lebih kreatif dan seimbang daripada aspek spiritual dan fizikal.

Pengurus Pembangunan Kandungan & Perolehan TV Al Hijrah, Nurjannah Mohd Salleh, berkata, Pentas Marhaban akan bersiaran selama 8 minggu dan sebanyak 2 kumpulan akan berentap pada setiap minggu. Manakala, pemenang mingguan akan bertemu di pusingan separuh akhir dan hanya 2 kumpulan sahaja akan meneruskan taruhan di pentas final.
“12 kumpulan marhaban bakal bersaing mengalunkan rangkaian puisi tentang kisah Rasulullah SAW serta puji-pujian kehadrat Ilahi yang disampaikan dengan iramanya yang tersendiri dengan penumpuan kepada tiga elemen utama pada setiap persembahan iaitu Mawal, Marhaban dan Qasidah.
“Mereka dipilih disebabkan kefasihan, kelunakan serta kreativiti persembahan yang terbaik. Apa yang utama, mereka semua akan menjadi ikon elemen hiburan Islamik yang menitikberatkan wasilah dakwah kontemporari yang berupaya menghubungkan penonton” katanya.
Tambahnya, TV Al Hijrah akan sentiasa tampil dengan kejutan dan kelainan bagi memeriahkan dan menggamatkan program ini.

Markah kumpulan tertinggi pada setiap minggu akan diadili oleh dua orang juri tetap iaitu Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Zulhafis lebih dikenali sebagai Along Gambus juga bersama seorang Juri Jemputan. Juri Jemputan untuk Pentas Marhaban pada minggu pertama adalah Mawi.
Juara setiap episod Pentas Marhaban akan membawa pulang wang tunai RM2,500 dan akan layak ke peringkat separuh akhir. Bagi juara final, akan membawa pulang wang tunai RM50,000 dan naib juara sebanyak RM25,000 beserta hadiah tambahan lain.
Minggu pertama menampilkan dua kumpulan, Nurul Akhyar dan Sinar Marhabban yang membuat persembahan dalam dua segmen antaranya marhabban dan Rawi.
Sinar Marhaban telah berjaya menewaskan kumpulan Nurul Akhyar selepas membuat satu persembahan bebas dan Rawi 2, manakala kumpulan Nurul Akhyar membuat satu persembahan bebas dan Rawi 3.

“Selain teknik vokal dan suara, kreativiti persembahan juga dinilai dalam setiap persembahan. Kita ingin persembahan yang ada kelainan dari yang biasa dan nampak lebih warna.
“Sinar Marhaban berjaya menonjolkan kelainan dan keunikan dalam persembahan Rawi apabila menggabungkan bahasa melayu dan bahasa arab, ini mampu menarik lebih ramai penonton terutama golongan muda dalam menghayati alunan seni islam” jelas juri tetap, Along Gambus dalam sidang media selepas siaran langsung Pentas Marhaban di Studio, TV Al Hijrah disini.

Sementara itu, dua belas kumpulan tersebut adalah Al-Muhtadin, Selawat Buskers, Soutun Nadwah, Al Maqari, Mawaddah, Qalbun Hadi, An Ni’matul ‘Uzma, Shoutul Huffaz, Nurul Akhyar, Sinar Marhaban, Raudhatul Ashwaq dan Intracksee
Pentas Marhaban yang diterbitkan oleh penerbit program, Nurul Ain Mohamed akan disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah pada setiap Sabtu pukul 9 malam.
