Kuala Lumpur – Meminati lagu-lagu melayu sejak kecil membakar semangatnya untuk menceburkan diri dalam industri muzik negara. Industri muzik di Malaysia yang kebanyakkanya menggunakan bahasa kebangsaan kini semakin diminati masyarakat berbangsa Cina, India, Kadazan dan sebagainya.
Koh Kim Loong, 46, atau lebih mesra dipanggil Kim Loong yang memasang cita-cita menjadi penyanyi lagu melayu berharap kedatangannya dalam industri diterima.
Lelaki berbangsa cina itu yang mudah didekati, memaklumkan lebih gemar menyanyi lagu melayu ketika membuat persembahan di karnival dan ekspo. Selain itu, pengalamannya menyertai beberapa pertandingan karaoke juga membuatkannya lebih berani.
“Saya adalah seorang buta huruf cina kerana dibesarkan dikalangan orang melayu, malah saya juga bersekolah di Sekolah Kebangsaan sejak kecil lagi.
“Saya sangat berharap kemunculan dalam industri muzik negara ini dapat menyatu padukan masyarakat di negara kita disamping memupuk minat bagi orang bukan melayu untuk lebih fasih menggunakan bahasa kebangsaan” katanya kepada Malaysianews TV selepas tamat penggambaran klip video lagu single pertamanya.
Kim Loong yang pernah bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Semenyih dan Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain menyifatkan lagu melayu mempunyai bait-bait yang indah dan aura mendalam.
“Saya amat meminati lagu nyanyian Jamal Abdillah seperti Azura dan Seniman menangis, lagu ini sering saya nyanyikan ketika memasuki pertandingan karaoke.
“Saya juga memasang niat untuk berduet dengan beliau satu hari nanti” ujarnya lagi.
Beliau yang kini bekerja sebagai pemandu E-hailing pernah menyertai uji bakat dalam program Mentor Otai di TV3 dan turut berjaya melayakkan diri ke pusingan pertama program Suara Viral 2.0 di Astro.
Melihat bakatnya yang boleh digali lebih jauh, Zul 2by2 telah mencipta sebuah lagu single pertama bagi mengetengahkan bakat Kim Loong.
Lagu Ada Denganku yang ditulis oleh Anje Maya telah dimuat naik di youtube dan mencapai jumlah tontonan yang memberangsangkan.
