Kuala Lumpur – Kejayaan meraih 13.4 juta tontonan menerusi pelbagai siri dokumentari pengembaraan hasil kolaborasi TV AlHijrah dan Rare TV menjadi pemangkin kepada kedua-dua pihak untuk meneruskan kerjasama strategik menerusi siri terbaharu Kembara Wahyu, dengan Oman dipilih sebagai destinasi ekspedisi seterusnya.
Berdasarkan laporan data Consumer Insight TV AlHijrah, pencapaian tersebut direkodkan bagi tempoh September 2025 hingga 28 Oktober 2026, sekali gus mencerminkan sambutan positif penonton terhadap kandungan berteraskan pengembaraan, sejarah, budaya dan pendidikan yang dihasilkan menerusi kerjasama kedua-dua pihak.
Sehingga kini, Rare TV telah membekalkan sebanyak 113 episod kepada TV AlHijrah menerusi pelbagai siri termasuk Kembara Wahyu Sirah Nabi, Kembara Wahyu Jordan, Travelog Iceland, Travelog Kyrgyzstan, Travelog Western Australia, Travelog Eropah serta Port Healing Kebangsaan.
Kesinambungan kolaborasi ini diteruskan dengan penerbitan 13 episod baharu Kembara Wahyu yang bakal membawa penonton meneroka bumi Oman. Siri terbaharu tersebut dilancarkan dalam rancangan Assalamualaikum TV AlHijrah pagi ini, turut disertai sesi tandatangan dan penyampaian penghargaan sebagai simbol pengukuhan jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Selepas membawa penonton menyusuri kisah Nabi Musa AS di bumi Mesir pada Ramadan lalu, ekspedisi kali ini bakal membuka lembaran baharu dalam penerokaan khazanah dunia Islam dengan mengetengahkan sejarah, warisan budaya, keindahan alam serta penghayatan spiritual menerusi pendekatan dokumentari yang sarat dengan nilai pendidikan.
Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Hajah Nadzariah Mohamed, ketika ditemu bual secara langsung dalam rancangan berkenaan berkata, pencapaian tersebut memberikan keyakinan kepada TV AlHijrah untuk terus memperluas kerjasama bersama rakan strategik yang mempunyai aspirasi sama dalam menghasilkan kandungan berkualiti dan bermanfaat kepada masyarakat.
“Pencapaian 13.4 juta tontonan ini membuktikan bahawa kandungan berteraskan sejarah dan pengembaraan mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan penonton. Sambutan yang diterima memberikan dorongan kepada kami untuk terus meneroka pendekatan baharu dalam menyampaikan ilmu dan dakwah melalui medium penyiaran.
“Kami amat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama bersama Rare TV yang mempunyai kepakaran dalam menghasilkan dokumentari pengembaraan berkualiti, sekali gus memperkayakan penawaran kandungan TV AlHijrah kepada masyarakat,” katanya.
Menurut Nadzariah, dokumentari berbentuk travelog sejarah Islam merupakan antara genre yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dalam industri penyiaran tempatan, khususnya dalam memenuhi minat penonton terhadap kandungan berinformasi yang disampaikan secara santai, visual dan mudah dihayati.
Beliau turut menghargai inisiatif pasukan Rare TV yang diketuai oleh Haji Saiful Nang dalam mengetengahkan sejarah dan sirah Islam melalui karya dokumentari yang menggabungkan elemen pengembaraan, pendidikan serta penceritaan visual.
“Tidak semua orang mempunyai kesempatan untuk menjejakkan kaki ke destinasi yang diterokai oleh pasukan ekspedisi. Justeru, menerusi Kembara Wahyu, kami mahu memberikan peluang kepada penonton untuk seolah-olah turut berada di lokasi berkenaan, menyaksikan sendiri keindahan alam, mengenali sejarah dan memperoleh pengalaman ilmu yang berbeza.

“Inilah nilai yang ingin kami ketengahkan, iaitu menjadikan pengembaraan bukan sekadar sebuah perjalanan fizikal, tetapi juga perjalanan ilmu yang mampu memperluas perspektif dan penghayatan masyarakat terhadap Islam,” tambahnya.
Pemilihan Oman sebagai destinasi terbaharu turut membuka peluang untuk memperkenalkan sisi dunia Islam yang mungkin kurang diterokai oleh khalayak tempatan, sekali gus memperkayakan pemahaman masyarakat terhadap kepelbagaian budaya, sejarah dan warisan ketamadunan Islam di persada antarabangsa.
Dalam pada itu, kolaborasi antara TV AlHijrah dan Rare TV turut memperlihatkan kepentingan sinergi antara penyiaran televisyen dan kandungan digital dalam memperluas capaian dakwah kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Gabungan kekuatan kedua-dua medium ini membolehkan kandungan berteraskan ilmu disampaikan kepada khalayak yang lebih luas, termasuk generasi muda yang semakin cenderung kepada penggunaan platform digital, di samping memenuhi keperluan penonton setia televisyen.
“Perkembangan teknologi dan perubahan corak penggunaan media membuka lebih banyak peluang kepada kita untuk menyampaikan dakwah. Sama ada melalui kaca televisyen mahupun platform digital, matlamat utama kami adalah memastikan ilmu dan mesej yang membawa manfaat dapat disampaikan kepada masyarakat.
“Kerjasama strategik seperti ini memperlihatkan bagaimana televisyen dan media digital boleh saling melengkapi dalam membina ekosistem penyampaian dakwah yang lebih luas dan berkesan,” jelasnya.
Kesinambungan penerbitan Kembara Wahyu turut mencerminkan komitmen TV AlHijrah sebagai sebuah institusi penyiaran Islam yang sentiasa meneroka peluang kolaborasi bersama penggiat industri kreatif dalam memperkukuh penawaran kandungan berkualiti, seiring dengan perubahan cita rasa dan keperluan audiens masa kini.
TV AlHijrah turut menzahirkan harapan agar segala urusan ekspedisi pasukan Rare TV ke bumi Oman dipermudahkan dan misi tersebut menghasilkan sebuah karya dokumentari yang bukan sahaja menarik dari sudut visual, malah memberikan nilai tambah kepada pemahaman masyarakat terhadap sejarah dan khazanah Islam.
Daripada bumi Mesir ke bumi Oman, Kembara Wahyu meneruskan misi dakwah merentas sempadan, membawa penonton mendekati khazanah dunia Islam melalui pengalaman pengembaraan yang memperkaya ilmu dan penghayatan.
Siri dokumentari Kembara Wahyu Oman bakal menemui penonton TV AlHijrah sempena Ramadan 2027. Maklumat lanjut mengenai siri tersebut akan diumumkan kelak menerusi platform media sosial rasmi TV AlHijrah dan Rare TV.
