WhatsApp-Image-2023-10-03-at-2.44.04-PM-e1696315734164

KUALA LUMPUR – Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini daripada tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya.

Hakim Faiz Dziyauddin bagaimanapun memerintah Muhammad Yasin ditempatkan di Hospital Bahagia, Perak sehingga tempoh selama mana yang diperkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Selain ahli keluarga, turut hadir Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez.

Ketika prosiding bela diri, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu diwakili peguam, Ariff Azami Hussein manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin.

Pada 3 Oktober lalu, Yasin diarah membela diri atas tiga kes dadah selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes mereka.

Setelah diberi tiga pilihan untuk membela diri, dia memilih untuk berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan.

Pembelaan kemudiannya memanggil satu-satunya saksi pembelaan mereka, iaitu Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony.

Sementara ketika di peringkat pendakwaan yang bermula 28 Ogos tahun lalu, tujuh saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan terhadap Yasin.

Pada 6 Julai tahun lalu, bapa kepada dua anak ini bernasib baik kerana tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram. Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan itu ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu.

Sebelum ini, dia didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Namun bagi pertuduhan baharu, Yasin didakwa atas pertuduhan memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading