Kuala Lumpur – Restoran Me’nate Steak Hub mengumumkan dana sebanyak RM300,000 akan disumbangkan kepada penduduk Palestin melalui kempen Dine And Donate yang dianjurkan sejak 6 sehingga 20 November lalu.
Pengarah Urusan Palace Butcher Resources Sdn Bhd, Syed Ashraf Syed Ali yang juga pemilik Me’nate Steak Hub merakamkan ucapan terima kasih kepada pelanggan mereka yang turut serta dalam kempen ini.
Beliau yang bersyukur dengan sambutan yang diterima berharap kempen itu menjadi permulaan yang baik buat rangkaian restoren tu untuk menganjurkan lebih banyak kempen sama pada masa akan datang.

Jelasnya, dalam tempoh kempen berlangsung, sebanyak 10 peratus daripada perbelanjaan pelanggan akan disumbangkan kepada tabung kemanusiaan Palestin dan alhamdulillah, sasaran itu berjaya dicapai dalam tempoh singkat.
“Pelanggan Me’nate sangat cakna dengan apa yang berlaku di Palestin dan saya yakin ini juga peluang mereka untuk turut sama membantu saudara kita di sana. Kita bercadang melakukan lebih banyak kempen kemanusiaan pada masa depan,” katanya di sini, hari ini.
Kutipan bernilai RM300,000 terkumpul itu itu diserahkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima yang diwakili Pengarah Jualan Media Prima Omnia, Sharifah Omar dan Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia yang diwakili Presidennya, Syed Sheikh Al-Attas Syed Hassan.

“Kerjasama yang dijalankan SEJAGAT dan Tabung Kemanusian Palestin Media Prima sebagai satu langkah tepat pada masa ini dan dalam masa sama memberi fokus dalam menyampaikan bantuan kepada mangsa kekejaman Israel.
“Me’nate akan kekal sensitif dengan isu seumpama ini dalam memastikan rangkaian perniagaan ini lebih dekat dengan masyarakat” ujarnya lagi.
Syed Ashraf berkata, kerjasama bersama dua organisasi ini disifatkan tepat kerana ia sebagai cara menyampaikan tanda solidariti terhadap perjuangan penduduk Palestin.
