Kuala Lumpur – Harapan untuk mara ke peringkat separuh akhir program Pentas Marhaban menjadi sinar buat kumpulan Raudhatul Ashwaq apabila dinobatkan pemenang bagi program TV AlHijrah, Pentas Marhaban untuk minggu keempat sekali gus menyaksikan mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,500.
Program siaran langsung malam tadi, menyaksikan kumpulan Shoutul Huffaz gagal mara ke peringkat seterusnya.

Juri tetap program, Ustaz Zulhafis atau lebih dikenali sebagai Along Gambus berkata, kesemua juri bersepakat memilih Raudhatul Ashwaq kerana mereka berjaya mengangkat dan mengekalkan keaslian marhaban sekaligus identiti syair islam itu terus dipelihara.
Jelasnya, selain teknik vokal, kreativiti persembahan juga diambil kira kerana mahukan persembahan yang lari daripada kebiasaan.
“Juri nampak kelebihan pada Raudhatul Ashwaq dari segi persembahan marhaban yang lebih baik daripada kumpulan lawan manakala persembahan ditonjolkan juga lebih menarik.
“Minggu ini pihak juri agak sukar membuat pilihan kerana kedua-dua kumpulan tiada asas ilmu marhaban, mereka bermula daripada zero namun cukup bersemangat dengan latihan dan ini dapat dilihat dari persembahan yang dipersembahkan” ujarnya.
Tambahnya lagi, walaupun ada beberapa kesilapan pada persembahan, ia perlu diasah melalui latihan yang lebih mendalam bagi menambah nilai persembahan.

Juri jemputan, Ustazah Sharifah Khasif yang menggantikan tempat juri tetap Ustazah Asni Mansor pada minggu ini berkata, marhaban adalah syair yang paling popular dari kitab ‘berzanji’ disamping kitab-kitab lain seperti Maulid AdDiba’I, Maulid Al-Habshee dan Qasidah burdah.
“Marhaban ada alunan tersendiri yang perlu kita jaga keasliannya agar tidak lari dari maksud penyampaian sebenar, bagi persembahan Rawi pula boleh diinovasikan namun kedua-dua ini perlu sampai kepada pendengar agar lebih mudah difahami” katanya dalam sidang media di studio TV AlHijrah malam tadi.
Beliau turut berharap untuk minggu-minggu seterusnya, peserta perlu pastikan fokus kepada apa yang program tersebut ketengahkan iaitu marhaban, berzanji, mawal dan qasidah, sekaligus membezakan keempat-empat kategori berkenaan.

Juri jemputan pada minggu keempat, Farihin Abd. Fatah juga turut memeriahkan pertandingan dan berkongsi ilmu kepada kumpulan Raudhatul Ashwaq serta Shoutul Huffaz.
Program Pentas Marhaban juga menjangka pertembungan sengit kumpulan-kumpulan terpilih pada malam separuh akhir nanti. Setiap kumpulan yang dipilih mara ke peringkat seterusnya dilihat mempunyai kekuatan dari segi teknikal, vokal dan gaya persembahan tersendiri.
Program realiti ini disiarkan selama lapan minggu yang menawarkan hadiah bernilai RM50,000 menanti juara manakala pemenang tempat kedua berpeluang membawa pulang RM25,000.
Pentas Marhaban, satu program realiti keluaran TV AlHijrah diterbitkan bagi mengangkat martabat dan kesenian Islam seperti berzanji, marhaban, Rawi dan Qasidah serta menarik minat anak muda dalam menghargai keindahan amalan tradisi masyarakat Melayu ini.
Sebanyak 12 kumpulan marhaban akan bersaing dengan mengalunkan rangkaian puisi tentang kisah Rasulullah SAW serta puji-pujian kepada tuhan mengikut iramanya yang tersendiri.
Tiga elemen utama yang menjadi teras dalam setiap persembahan adalah Mawal, Marhaban dan Qasidah.
