Petaling Jaya – “Berkhatan penting untuk kebersihan dan kesihatan, itu istimewanya Islam” .
Itu antara kata-kata dari saudara baru, Johan Lian Fook Seong, 55, seorang juru latih keselamatan jalan raya yang telah memeluk agama islam sejak tahun 2019.
“Alhamdulillah saya revert kepada Islam pada 2019, syukur diberi hidayah Allah pada umur 51 tahun.
“Saya telah mendalami pelbagai agama dan telah membaca kitab-kitab suci agama lain dan akhirnya hati terpaut pada Islam dan keagungan Allah SWT” katanya.
Johan bagaimanapun mengambil masa 4 tahun sebelum membuat keputusan menjalani ibadah khatan kerana ingin mendalami agama dan belajar kebaikan berkhatan yang diwajibkan dalam islam.
“Selepas saya memeluk agama islam, saya merujuk pada ustaz dan pakar agama adakah diwajibkan untuk terus berkhatan, dan mereka menjelaskan agama islam itu mudah dan menyenangkan, tiada paksaan untuk melakukannya pada bila-bila masa sahaja apabila sudah bersedia.
“Hari ini saya telah pun dikhatankan dan Alhamdulillah tiada rasa takut mahupun sakit kerana dilakukan oleh pegawai perubatan yang arif, saya seolah-olah dilahirkan semula dan lebih yakin terutama berkenaan kebersihan
“Saya hanya perlu berpantang makanan laut sahaja, itu yang dipesan oleh pegawai perubatan” jelasnya lagi dalam nada seloroh.

Dalam masa sama, Johan turut berpesan kepada semua saudara baru untuk melakukan ibadah khatan kerana ia satu tuntutan wajib dalam agama.
“Tidak perlu takut kerana tiada rasa sakit pun, lakukanlah khatan untuk kesihatan dan paling utama kebersihan, agama islam semestinya agama yang suci.
“Carilah redha Allah, carilah keberkatan dan yakin apa yang dituntut dalam agama itulah kebaikan untuk kehidupan kita” jelasnya.
Johan merupakan peserta dalam program khatan yang dianjurkan oleh Surau Perdana, Damansara Perdana pada pagi sabtu lalu.
Program khatan tersebut menyaksikan dua orang saudara baru menyertai sesi berkhatan.
