1b488c7d-300c-44e1-997c-3d09d12b8df9

Kuala Lumpur – Selepas mencipta sejarah tersendiri menerusi naskhah berjudul Redha yang terpilih mewakili Malaysia untuk senarai pencalonan kategori Filem Bahasa Asing Terbaik Anugerah Akademi ke-89, sutradaranya Tunku Mona Riza kembali dengan buah tangan terbaharu.

Berbeza daripada kebiasaan, kali ini Tunku Mona tampil dengan sebuah filem Kantonis berjudul Rain Town yang baru sahaja selesai penggambaran selama hampir sebulan.

Menampilkan gandingan aktor berpengalaman, Chew Kin Wah yang memegang watak Chew dan Susan Lankester (Ai Lin), Rain Town merupakan filem kedua arahannya yang disifatkan satu cabaran besar.

Tunku Mona Riza berkata, idea bagi menghasilkan filem itu bermula selepas dimaklumkan mengenai ‘Rain Betting’ atau bertaruh meneka waktu hujan yang pernah berlaku di Taiping dahulu.

“Tajuk Rain Town telah dipilih memandangkan lokasi penggambaran dilakukan di Taiping, kawasan yang menerima taburan hujan paling banyak di Malaysia.

“Pada saya cabaran yang dihadapi bukanlah sekadar dari sudut pembikinan sahaja, tetapi penerimaan penonton terhadap naskhah ini.

“Biarpun ia filem berbahasa Kantonis, cabaran sebenar adalah untuk menarik penonton bukan sahaja dari kaum Cina malah kaum-kaum lain juga.

“Secara peribadi, saya meletakkan harapan agar Rain Town dijadikan inspirasi kepada pengarah-pengarah lain cuba menghasilkan naskhah yang berbeza dari sudur bahasa dan budaya mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai Rain Town, Tunku Mona berkata, naskhah tersebut bukan 100 peratus berkisar mengenai pertaruhan hujan yang pernah wujud di Taiping, tetapi lebih kepada mengangkat kisah kekeluargaan.

“Chew digambarkan bapa yang suka campur tangan kehidupan anak-anak dan membuatkan urusan keluarga menjadi huru-hara dan kacau-bilau.

“Saya percaya, banyak keluarga berhadapan dengan ibu bapa yang suka mengatur kehidupan anak-anak.

Meskipun lebih enam tahun tidak turun set mengarahkan sebarang naskhah, Tunku Mona juga langsung tidak meletakkan sebarang sasaran apatah harapan besar untuk Rain Town.

Filem Rain Town dibintangi oleh pelakon hebat tanah air seperti Chew Kim Wah dan Susan Lankester serta barisan pelakon lain antaranya Fabian Foo, Wilson Lee dan Pauline Tan.

Sementara itu, filem ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 8 Februari 2024 sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading