KUALA LUMPUR – Filem Syaitan Munafik lakonan Ashraf Sinclair terbitan United Nine Creative Sdn. Bhd. (UNC) yang akan memasuki pawagam di seluruh negara esok, mensasarkan satu juta penonton tempatan.
Pengarah Urusan UNC yang juga Penerbit filem, Datuk Mohd Rosdi Shair berkata, di Indonesia, beliau berharap dapat menarik dua juta penonton melalui kemunculan dua pelakon negara itu, Dea Lestari dan Tessa Mariska.
“Satu lagi faktor yang mungkin menarik penonton ialah populariti pelakon utama, Allahyarham Ashraf yang meninggal dunia tiga tahun lepas.
“Saya percaya peminat yang merindui arwah akan menunggu peluang menonton lakonan beliau selain kemunculan pelakon tempatan seperti Bandi Amok, Mak Mah, S Azli, Munir (Phyne Ballerz), Linda Hashim dan Ramli Salleh,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd Rosdi yang juga dikenali sebagai Ray Rusdi berkata, pihaknya juga bercadang menyalurkan sedikit sumbangan kepada waris keluarga pelakon yang meninggal dunia sekiranya filem itu memperoleh kutipan memberangsangkan.
“Selain Ashraf, beberapa tenaga penggiat telah kembali ke rahmatullah iaitu pengarahnya, Majed Saleh serta pelakon S. Shamsuddin dan Maidin.
“Tenaga penerbitan juga akan menerima imbuhan sekiranya kami berjaya mencapai sasaran kutipan,” katanya.
Meskipun mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan, Ray Rusdi berkata, filem itu masih relevan untuk ditayangkan.
“Saya tidak takut untuk bersaing kerana yakin akan kemampuan cerita bergenre seram yang tidak terlalu berat untuk ditonton dan menghiburkan untuk tontonan seisi keluarga.
“Tempoh yang lama diambil untuk disiapkan kerana masalah teknikal. Tapi dengan penambahbaikan aspek teknikal serta sepuluh peratus babak tambahan dengan kos RM300,000 di samping kos asal RM1.6 juta, saya yakin filem ini akan diterima,”katanya.
Beliau berkata walaupun pada asalnya timbul bantahan daripada pelakon kerana isu babak berkemban, namun ia bersesuaian dengan proses menuntut ilmu hitam yang dipaparkan dan bukan bertujuan mengeksploitasi artis.

“Tiada masalah langsung mengenai perkara itu kerana filem ini memaparkan kisah masyarakat yang sering diceritakan oleh orang tua kita pada masa dahulu.
“Lembaga Penapis Filem juga telah meluluskan tayangannya dengan potongan lima peratus saja,” katanya.
Ray Rusdi berkata selain tayangan di 51 pawagam Malaysia, Syaitan Munafik juga akan menemui penonton di 10 pawagam di Brunei bermula esok. Manakala tayangan di Indonesia dijangka bermula pada Januari tahun depan.
“Insya-Allah pelakon dan wartawan Malaysia akan diterbangkan ke sana oleh TransNusa Air yang turut menaja penerbangan 18 artis Indonesia untuk memeriahkan tayangan perdana filem itu di sini pada Isnin lepas,” katanya.
