Kuala Lumpur – Komposer dan penulis lirik hebat tanah air, Rozman Shafie, 62, atau lebih dikenali melalui nama penanya LY mempertaruhkan dua bakat baru dari negeri Sabah.
Dibawah label syarikatnya, LY Music Factory, beliau berkata bakat baru yang dicungkil ini mempunyai kelebihan dari segi suara dan pengaruhnya tersendiri.

“Bukan sahaja pada bakat dan suara, kelebihan dua anak muda ini dalam mencipta lagu sendiri juga harus diketengahkan dan diberi peluang berada dalam industri muzik tanah air.
“Sebagai orang lama dalam industri, kita membuka peluang bagi yang berbakat untuk kita asah lebih dalam bakatnya dan mewarnai industri kita ke peringkat lebih tinggi” katanya.
Horsonbee atau nama sebenarnya Harrison Bryan Herman, 24, graduan Diploma Muzik, Kolej Universiti Borneo Utara (KUBU) mula berkecimpung dalam bidang ini menerusi projek Sabah Next Top Composer (SNTC) dan mencipta lagu.
Menerusi pertandingan yang diadakan sepenuhnya secara dalam talian menggunakan platform YouTube itu, HarsonBee berjaya mendapat tempat ketiga dengan mempertaruhkan karya ciptaan sepenuhnya berjudul Cerita Cinta Kita.

“Semasa dalam pengajian di kolej, saya menulis dan mencipta lagu Pemilik Hatiku kemudian merujuk kepada pensyarah muzik Chonnel George, beliau banyak membimbing saya dan seterusnya terhasil lagu ini.
“Tanpa pengetahuan saya, pensyarah telah menghantar lagu tersebut kepada LY dan syukur lagu itu diterima, saya dipanggil untuk rakaman” katanya kepada Malaysianews TV.
Lagu pemilik Hatiku diilhamkan dari perkataan ‘baby sayang’ yang tular sekitar tahun 2021 membawa makna bahawa dia (kekasih) satu-satunya yang berada di dalam hati.
“Ini adalah single pertama saya untuk dipertaruhkan bagi memperkenalkan lagi nama saya dalam dunia seni. Lagu ini menceritakan mengenai seorang lelaki yang sedang memujuk teman wanitanya dan pada masa yang sama cuba untuk membuatnya tersenyum kerana teman wanitanya berasa tidak disayangi dalam hubungan mereka.
“Mencari melodi ini mengambil masa kerana pada masa yang sama saya mendengar lagu-lagu daripada pelbagai genre. Kemudian saya memilih konsep ‘bubblegum pop’. la adalah satu cabang daripada genre pop, yang mana ia mempunyai elemen ‘catchy’, ‘cute’ dan juga ‘upbeat’” tambahnya.
Jelasnya lagi, beliau amat beruntung kerana lagunya mendapat sentuhan dan dijaga oleh LY selaku penerbit. Video muzik (MV) lagu ini juga memberi fokus kepada memperkenalkan dirinya sebagai pendatang baru dan menterjemahkan liriknya dalam bentuk visual.
Pemilik Hatiku kini boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 26 January 2024, muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.
Seorang lagi bakat baru berusia 14 tahun, Neo yang berasal dari Putatan, Sabah berpendapat kerjaya sebagai penyanyi baru tidak sedikitpun menganggu pelajaran jika bijak membahagikan masa.
Pelantun lagu Oh Ibu ini berhasrat menyambung pelajaran ke peringkat universiti dalam bidang muzik dan mampu sebaris dengan penyanyi rap tanah air, Maleeq dan Mkay.
Bercerita mengenai lagunya itu, ia adalah hasil karya penulis lagu dan lirik baharu Cinderella dan digubah khas untuknya. Manakala, susunan muzik dan rakaman muzik lagu ini dibuat di Indonesia bagi mencipta kelainan.

“Penulis mengambil masa untuk mengenali saya dan ibu. Setiap bait lirik lagu ini ditulis agar dapat menyampaikan rasa yang sebenar mengenai perjuangan seorang ibu dan anak dalam kehidupan seharian. Melodi lagu ini disesuaikan dengan luahan lirik agar dapat melontar perasaan dan menterjemahkannya melalui persembahan vokal rap yang beremosi.
Difahamkan, lagu Oh Ibu ini mengambil masa selama 2 tahun untuk diubah dan ditambah baik bagi mencapai bentuk muzik kontemporari sesuai pasaran pada masa kini.
Neo turut berkongsi, pembikinan video muziknya itu turut memaparkan ibu bapanya sebagai tanda kasih dan sayangnya kepada mereka.
“Ibu bapa saya dibawa masuk kedalam video kerana lagu ini sebenarnya saya tuju buat mereka berdua.
“Saya akui sebagai remaja pastinya tidak lari dari sifat nakal, dan lagu ini adalah isi hati yang diluahkan kepada mereka berdua, pembikinan video ini mengambil masa 3 hari dan sokongan dari ibu bapa, krew terlibat amat dihargai” ujarnya lagi.
Oh Ibu kini boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 2 Februari 2024, muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.
