prosperity2

KUALA LUMPUR – Orang ramai dipelawa memeriahkan program Kuala Lumpur Prosperity Walk pada Sabtu ini yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Program anjuran Rangkaian Komuniti Bukit Bintang (NBBC) bekerjasama dengan Persatuan Pelancongan BBKLCC diadakan bersempena dengan sambutan Chap Goh Mei 2024.

Pengerusi Penganjur NBBC, Jack Lim berkata, acara tersebut adalah kali ketiga diadakan dan ia telah menjadi acara tahunan yang memberi makna kepada identiti kawasan Bukit Bintang dengan semangat FAME (Festival, Budaya, Muzik, Tarian).

“NBBC amat bersyukur dan berterima kasih di atas sokongan daripada pihak berkuasa tempatan dan pelbagai NGO.

“Kuala Lumpur Prosperity Walk adalah cerminan kepada keharmonian jalinan tradisi dan kemodenan yang mentakrifkan Bukit Bintang.

“Acara pada tahun ini menyasarkan kepada pembangunan ekonomi, merangsang pemerkasaan komuniti, dan meningkatkan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Lim, terdapat begitu banyak perkara untuk diterokai di kawasan tersebut.

“Oleh itu kami menjemput semua orang untuk menyertai kami bagi meraikan kedinamikan budaya komuniti setempat bersama-sama,” tambahnya.

Tambahnya, laluan utama bagi acara ini merangkumi pelbagai mercu tanda ikonik Bukit Bintang, dan ini termasuk Pasar Seni, River of Life (RoL), pusat membeli-belah komuniti GMBB, Hotel Federal, Lot 10, Plaza Low Yat, Sungei Wang, Berjaya Times Square, dan berakhir di Lalaport.

“Di sepanjang perjalanan, para peserta juga akan melalui kawasan ikonik lain, termasuklah Jalan Petaling dan Jalan Alor.

“Tarian naga dan singa turut akan dipersembahkan untuk hiburan pengunjung pada majlis pelepasan, manakala pakaian kostum berwarna-warni dan persembahan muzik akan mengiringi peserta di sepanjang laluan, yang mempamerkan keunikan intipati dinamik bandaraya,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Untuk rekod, acara ini pada awal dipromosikan baru-baru ini sebagai Unity Parade Kuala Lumpur 2024, namun ditukar kepada yang asal atas alasan tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Laluan kedua juga disediakan yang merupakan laluan lebih pendek berbanding laluan utama. Dengan hanya sejauh 1.4 kilometer, laluan ini akan mengambil masa kira-kira 30 minit dengan berjalan kaki.

Bermula di kawasan air pancut Pavilion KL, ia akan membawa peserta melalui pelbagai mercu tanda seperti Starhill, Fahrenheit 88 dan Lot 10, dan laluan kedua ini akan bergabung dengan laluan utama di Menara Hai O di Jalan Bukit Bintang.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh layari https://klprosperitywalk.com/

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading