Shah Alam – Program Wacana Srikandi yang disempurnakan oleh Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Hajah Nancy Shukri di Pusat Konvensyen Shah Alam sebentar tadi menjadi platform yang unggul bagi para wanita di Malaysia untuk Bersatu, berinpirasi dan meraikan kehebatan mereka bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini.
Majlis yang julung kalinya dianjurkan oleh SACC Convec Sdn. Bhd. (SCSB) menampilkan tiga usahawan berjaya yang berkongsi rahsia kejayaan mereka melalui forum yang telah dihoskan oleh Fedtri Yahya dengan tajuknya iWanita Isnpirasi, Ikon Berkualiti’ telah memberikan inspirasi suntikan semangat kepada tetamu yang hadir.

Dalam majlis itu, Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan komited dalam memastikan peranan wanita di negara ini dimartabatkan menerusi pelbagai inisiatif sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini.
Tambahnya, KPWKM menggalakkan para wanita untuk sentiasa bergiat secara aktif dalam bidang ekonomi serta tenaga buruh, yang dapat membantu dalam menjana pendapatan, sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan.
“Bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini dengan tema ‘Wanita Dijulang Negara Gemilang’ yang memberikan penekanan kepada pentingnya membentuk budaya inklusif dan kesaksamaan gender di semua lapisan masyarakat.
“Beberapa inisiatif penting akan menjadi fokus kementerian sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa iaitu peningkatan penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan, toleransi sifar keganasan terhadap wanita, peningkatan penyertaan wanita dalam aktiviti ekonomi dan penambahbaikan persekitaran bagi menjamin kesejahteraan wanita.

Beliau berkata demikian dalam ucapanya sebelum merasmikan Program Wacana Srikandi Sempena Hari Wanita 2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.
Selain itu, majlis turut diceriakan dengan persembahan yang memukau daripada penyanyi tanah air iaitu Anuar Zain, Syamel dan Ernie Zakri serta persembahan fesyen dengan 21 peragaan daripada House of Jedan Shah Alam dengan temanya ‘Cahaya Di Aidilfitri’.
Program Wacana Srikandi kali ini turut memberikan penghargaan kepada 3 buah rumah kebajikan iaitu Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia, cawangan Selangor, Yayasan Kebajikan Negara dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dengan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi setiap rumah.


Program ini disokong oleh KPWKM serta ditaja oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selaku penaja utama dan para penaja lain iaitu Menteri Besar Incorporated (MBI), Worldwide Holdings Berhad, Selgate Corporation, Datum Corp International Sdn. Bhd., Johawaki, Argania, Ferraflora, CIMB Bank, Concorde Hotel, Naturel and House of Jedan Shah ALam dengan kerjasama Thrillerz and MyTicket Asia.
