Petaling Jaya – Satu inisiatif impak sosial Kumpulan QI iaitu Yayasan RYTHM, merasmikan Maharani Learning Lab 2.0 dalam memfokuskan pada pembangunan pendidikan dan peribadi remaja perempuan yang kurang bernasib baik. Dalam masa sama, ia sebagai satu langkah ke arah pemerkasaan dan masa depan yang lebih cerah.
Pengerusi Yayasan RYTHM, Datin Seri Umayal Eswaran, menekankan bahawa MLL 2.0 direka untuk menawarkan sokongan akademik selepas waktu sekolah, program digital dan sesi pemerkasaan kendiri. Makmal ini menawarkan bimbingan dalam mata pelajaran penting seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Sains, dan Matematik untuk membantu peserta cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Projek MLL 2.0 adalah satu harapan bagi remaja perempuan yang berisiko menghadapi masalah akibat cabaran sosioekonomi. Dengan menyediakan akses kepada pendidikan dan bimbingan yang berkualiti, inisiatif ini bertujuan untuk memecahkan kitaran kemiskinan dan memperkasakan golongan muda ini dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk membina masa depan yang lebih cerah. Penekanan program terhadap mata pelajaran akademik utama, ditambah pula dengan literasi digital dan bengkel pemerkasaan, memastikan pendekatan pembangunan yang menyeluruh.
“Selain sokongan akademik, Projek MLL 2.0 menggabungkan sesi pemerkasaan yang menumpukan pada pembinaan harga diri, kemahiran kepimpinan dan kesedaran sosial di kalangan peserta.
“Sesi ini adalah penting untuk memupuk individu yakin dan bertanggungjawab dari segi sosial yang boleh menyumbang secara positif kepada komuniti mereka. Persekitaran makmal direka bentuk untuk menyokong dan memupuk semangat dan motivasi di kalangan remaja untuk mengejar impian mereka” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran.

Pelancaran MLL 2.0 oleh Yayasan RYTHM adalah bukti komitmen organisasi untuk mencipta perubahan yang mampan dan memberi kesan dalam kehidupan masyarakat terpinggir. Dengan memberi tumpuan kepada remaja perempuan, inisiatif ini bukan sahaja menangani keperluan pendidikan segera tetapi juga melabur dalam pembangunan jangka panjang pemimpin wanita masa depan. Pendekatan ini sejajar dengan usaha global untuk menggalakkan kesaksamaan jantina dan memperkasakan semua wanita seperti yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Peserta, Amanina Nazira Ahmad Fakhrudin, 16, yang bersekolah di SMK Damansara Damai 1 berkongsi pengalaman menyertai MLL 2.0 sejak cuti persekolahan bermula awal Mac lalu.

“Pihak yayasan datang membuat aktiviti di sekolah saya dan mengajak untuk menyertai program ini semasa cuti sekolah, saya berminat dan memohon dengan mengisi borang seterusnya terpilih menyertainya.
“Disini, kami diajar dengan kemahiran komunikasi, seni dan motivasi. Sebelum ini, saya agak pemalu dan tidak berani bercakap dihadapan orang, Alhamdulillah, selepas beberapa minggu disini, saya lebih berani dan mudah bergaul” katanya.
Jelasnya lagi, beliau bersyukur menyertai program ini dan dapat mengisi masa lapang dalam tempoh cuti persekolahan dengan aktiviti yang berfaedah.
Kejayaan program sebegini boleh memberi inspirasi kepada usaha untuk merapatkan jurang pendidikan dan mewujudkan masyarakat yang lebih saksama di mana setiap kanak-kanak dan remaja berpeluang untuk mencapai potensi penuh mereka.
