Malaysia diangkat sebagai hub perantara bagi jalinan kerjasama dalam melaksanakan inisiatif memperkukuh industri makanan secara global antara pemain industri dari Jepun, Korea dan Turkiye.
Ketua Pegawai Eksekutif Sustainable Food Asia, Satoshi Umino berkata, kedudukan kukuh dan kepakaran Malaysia dalam industri makanan halal bakal menjadi pemudahcara kepada usaha tersebut.
Jelasnya, Sustainable Food Camp merupakan satu inisiatif di mana syarikat pemula di seluruh Asia akan berkumpul dan menjalin kolaborasi dalam memperkukuh industri makanan di masa hadapan.
Tahun ini, Ajinomoto merupakan rakan kongsi utama yang cukup bersemangat dalam menyumbang dan memberi nilai tambah dan sudi mewujudkan industri baharu dengan strategi yang dipanggil ‘green food’ untuk memperkukuhkan keselamatan makanan di rantau ini.

“Kami memberi fokus kepada tiga agenda iaitu meningkatkan persekitaran melibatkan gender, akses kepada nutrisi dan kesaksamaan sosial.
“Banyak aktiviti dan idea dijana dalam kem kali ini di mana ia bukan sekadar melibatkan keterjaminan makanan, malah isu diabetik, ekonomi, kitar semula dan keselamatan makanan turut diperbincangkan dan ditambahbaik dengan teknologi yang ada. Kami juga membincangkan isu membasmi kemiskinan dan kekurangan nutrisi di kalangan masyarakat” ujarnya.
Kem ini turut melahirkan kolaborasi dan idea baharu serta peluang menjana kapital bagi projek yang bakal dijalankan.
“Tahun ini kami memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan rakan industri dari Jepun, Turkiye dan Korea. Kami mahu mengembangkan kempen ini sehingga ke Asia Tenggara ke seluruh kontinen Asia,” katanya pada sidang media selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Sustainable Food Asia (Jepun), Kok Projekt (Turkiye) dan Merry Year Social Company (Korea Selatan)” tambahnya lagi.
Melalui MoU yang dimeterai, pihak Sustainable Food Asia ingin menjalin kolaborasi antara negara Korea dan Turkiye dalam mewujudkan ekosistem kestabilan makanan. Gabungan antara beberapa negara dalam melaksanakan idea dan mencari solusi terbaik kepada industri dan negara.

Pengurus Besar Kumpulan Pengguna Ajinomoto, Yoshiyuki Ozawa berkata Ajinomoto selaku rakan kongsi utama teruja akan kerjasama yang terjalin dan menyifatkan Malaysia selaku tuan rumah yang cukup kompeten sebagai hub dalam industri makanan halal.
“Kami juga dalam usaha membangunkan industri ‘green food’ yang mesra alam dan memberi fokus kepada budaya di Asia. Mereka punya banyak idea yang unik dalam membangunkan ‘green food’ yang saya fikir kurang memberi kesan buruk kepada alam sekitar” katanya.
