Memorandum Of Understanding Signing Ceremony Between Tourism Malaysia & Berjaya Hospitality Group.

Kuala Lumpur – Tourism Malaysia hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Berjaya Hospitality Group (BHG) bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027. Kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh kehadiran Malaysia di persada pelancongan global serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi percutian bertaraf dunia.

Majlis pemeteraian yang berlangsung di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur, mencerminkan usaha bersama untuk meningkatkan keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa dengan memanfaatkan rangkaian hospitaliti antarabangsa BHG yang luas. Memorandum tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, dan Pengurus Besar Kumpulan Berjaya Hospitality Group, Pravir Mishra. Majlis tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) merangkap Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026–2027, Mohd Akbal Setia, serta Ketua Komersial Berjaya Hospitality Group, William Tan.

Majlis menandatangani MoU itu turut menyaksikan pelancaran rasmi kempen “Stay Berjaya, Discover More of Malaysia”, sebelum diakhiri dengan sesi minum petang dan jaringan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Di bawah MoU tersebut, Tourism Malaysia akan bekerjasama dengan BHG dalam melaksanakan beberapa inisiatif pemasaran dan promosi utama bagi merancakkan sektor pelancongan negara. Antara fokus utama kerjasama ini ialah mengintegrasikan sokongan BHG dalam misi jualan antarabangsa Tourism Malaysia di pasaran sumber utama, selain menganjurkan lawatan suai kenal untuk media, rakan industri pelancongan dan pemimpin pendapat utama bagi memperkenalkan serta mengetengahkan produk penginapan domestik.

Dengan memiliki 10 hotel dan resort di seluruh Malaysia, BHG menawarkan pelbagai pilihan penginapan yang merangkumi percutian di bandar yang dinamik, pengembaraan di pulau-pulau yang indah serta percutian yang mendamaikan di kawasan tanah tinggi. BHG turut akan mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 menerusi rangkaian hotel dan resortnya di Malaysia, United Kingdom, Filipina, Jepun, Sri Lanka, Seychelles, Vietnam dan Iceland.

Kedua-dua pihak juga akan membangunkan kempen pemasaran bersasar serta pakej eksklusif secara bersama. Dalam masa yang sama, Tourism Malaysia akan memperluas jangkauan digital BHG melalui penglibatan strategik di media sosial, kerjasama dengan pempengaruh serta penggunaan platform dalam talian.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, berkata, “Kerjasama strategik ini merupakan langkah penting bagi memastikan Malaysia terus menjadi antara destinasi pilihan utama dalam pertimbangan pelancong antarabangsa. Dengan memanfaatkan rangkaian Berjaya Hospitality Group, kita dapat meningkatkan penglibatan pelawat secara menyeluruh, menggalakkan perbelanjaan pelancongan yang lebih tinggi serta memacu pertumbuhan mampan dalam sektor pelancongan tempatan.”

Mengulas kepentingan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Property Berhad, Syed Ali Shahul Hameed, berkata, “Sebagai sebahagian daripada Kumpulan Berjaya, BHG berada pada kedudukan yang strategik untuk menghubungkan Malaysia dengan pelancong antarabangsa melalui rangkaian hospitaliti dan portfolio destinasi kami. Kami komited untuk memanfaatkan platform, hartanah dan kerjasama strategik kami bagi mengetengahkan kepelbagaian Malaysia serta mewujudkan peluang bermakna untuk lebih ramai pelawat meneroka dan menikmati pengalaman di negara ini.”

Bagi menyokong matlamat Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 serta meraikan kerjasama ini, BHG telah melancarkan kempen “Stay Berjaya, Discover More of Malaysia”, yang menawarkan diskaun promosi istimewa sehingga 70 peratus bagi kadar bilik penginapan.

Tawaran ini memerlukan penginapan minimum dua malam di hotel bandar yang mengambil bahagian dan tiga malam di resort yang mengambil bahagian. Tempahan boleh dibuat sehingga 31 Disember 2026 bagi penginapan sehingga 30 Jun 2027 menerusi laman web berjayahotel.com. Inisiatif ini turut merangkumi koleksi tujuh poskad destinasi yang akan diberikan kepada tetamu semasa daftar keluar. Setiap poskad menampilkan kod promosi eksklusif yang boleh digunakan untuk penginapan seterusnya sehingga 31 Disember 2027.

Melalui kerjasama strategik seumpama ini, Tourism Malaysia kekal komited untuk memastikan kejayaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 dengan mengetengahkan kekayaan pengalaman pelancongan negara, merangkumi destinasi bandar, pulau dan tanah tinggi, kepada khalayak antarabangsa yang lebih luas melalui rangkaian rakan strategiknya.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading