MTXX_MH20240329_151422737

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali menegaskan akan berusaha memastikan setiap artis mendapat hak royalti atas hasil sumbangan kreatif mereka.

Jelasnya, menjadi tanggungjawab bersama memastikan ganjaran itu terus dinikmati oleh para karyawan bukan hanya setakat sepanjang karier aktif mereka, tetapi selama mana karya tersebut dimanfaatkan oleh orang ramai.

“Karya, bakat sebenarnya adalah ‘harta’, sumber rezeki (karyawan),” katanya ketika menghadiri majlis Ramadan bersama artis veteran malam tadi.

Artis yang terkesan masalah kewangan, kesihatan dan tiada menerima tawaran berkarya itu masing-masing menerima RM1,000 setiap seorang sempena Aidilfitri ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Freddie Fernandez, Timbalan Presiden Karyawan, Radhi Khalid dan Pengarah Urusan FMT Azeem Abu Bakar.

Katanya, kementeriannya melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menubuhkan sembilan organisasi pengurusan kolektif (CMO) untuk mentadbir kutipan dan pengagihan royalti kepada pemilik hak cipta.

Harta intelek artis dilindungi oleh Akta Hak Cipta 1987 yang membolehkan mereka memperoleh pendapatan melalui royalti.

Tambahnya lagi, pihak kementerian menerima maklum balas bahawa ada CMO yang mempunyai isu dari segi tadbir urus, di mana kutipan dibuat, tetapi manfaat tidak diterima oleh mereka yang berhak.

“Disebabkan itu, CMO dikehendaki membuat pembaharuan setiap dua tahun, dan dengan pembaharuan tersebut, kita boleh menyemak dokumen dan isu-isu berkait setiap CMO,” katanya.

Menteri itu juga mengambil maklum gesaan agar satu badan tunggal ditubuhkan untuk mengutip dan mengagihkan royalti.

“Setakat ini, KPDN menerusi MyIPO tidak mempunyai punca kuasa (untuk berbuat demikian). Kita juga tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan kadar tarif (royalti) yang dikutip CMO,” katanya.

Dalam masa sama, Fernandez dalam ucapannya menegaskan agar kerajaan menyelesaikan isu royalti yang sudah lama menghantui pencipta dalam industri muzik tempatan.

Beliau mencadangkan sebuah jawatankuasa ditubuhkan, diketuai oleh Armizan dan dianggotai komposer dan artis, agar isu ini dapat diselesaikan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading