Cheras – Mencari keberkatan dan mengumpul kebaikan, pihak Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, Cheras, Selangor telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Perdana yang melibatkan 150 orang asnaf, anak yatim dan pelajar tahfiz.
Menurut pengerusinya, Datuk Ahmad Nazri Ibrahim, setiap tahun, acara tersebut dianjurkan bagi membantu meringkan beban golongan yang kurang berkemampuan untuk sama-sama menyambut Aidilfitri.
“Dalam majlis ini, kami sampaikan sumbangan duit raya kepada 7 buah masjid dibawah kariah Masjid Al-Mukhlisin ini.
“Setiap masjid akan menerima sumbangan RM2000, saya juga berterima kasih kepada Ahli Perliman Bandar Tun Razak, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Ismail yang telah menyumbangkan RM19,000 untuk kita agihkan” katanya.

Tambahnya lagi, sumbangan RM200 turut diberikan kepada 150 orang penerima asnaf.
“Sumbangan RM1000 juga kami hulurkan kepada sebuah pusat tahfiz dan rumah anak yatim, kedua-dua pusat ini merupakan kariah masjid kami” ujarnya lagi.
Beliau turut berharap dengan majlis sebegini dapat mengimarahkan lagi masjid Al-Mukhlisin bukan sahaja sebagai tempat ibadah namun menjadi medan ilmu dan jalinan ukhuwah yang lebih baik.

Terdahulu, sepanjang bulan Ramadan turut didakan majlis berbuka puasa dan terbuka kepada sesiapa sahaja.
“Besar harapan saya sebagai pengerusi disini untuk melihat masjid Al-Mukhlisin ini menjadi contoh yang baik kepada masjid-masjid lain di kawasan Wilayah Persekutuan ini” katanya lagi.
Masjid ini juga bakal mengadakan jamuan hari raya Aidilfitri nanti.
