8

Petaling Jaya – Sempena meraikan para pelajar dan ibu bapa, Sekolah Pendidikan Khas Taarana School (Sekolah Taarana) mengambil kesempatan menganjurkan Hari Sukan Taarana 2024 pada Sabtu di Dewan Serbaguna MBPJ.

Acara tahunan itu disambut meriah oleh para pelajar yang turut dihadiri oleh keluarga dan ibu bapa sebagai tanda sokongan kepada anak-anak dan pihak sekolah.

Pengetua Taarana , Dr. Sunita Sivakumaran berkata, hari sukan ini adalah bukti kegigihan dan ukuran potensi pelajar. Ia mengesahkan komitmen pihak sekolah untuk memperkasakan pelajar dalam mencapai potensi terbaik mereka.

“Saya rasa bangga dengan pencapaian para pelajar dan aktiviti ini juga sebagai peluang pelajar autistik ini melibatkan diri dalam aktiviti yang mampu merangsang tubuh dan kecerdasan minda mereka.

“Di Malaysia, kadar kesedaran mengenai autistik ini masih rendah dan ada kalangan ibu bapa masih berasa malu atau payah menguruskan mereka apabila berada diluar, dan dengan adanya aktiviti seperti ini para ibu bapa juga dapat beriadah bersama anak-anak kurang upaya” katanya.

Sunita menambah, Sekolah Taarana menawarkan beberapa program untuk membantu pengembangan dan kemajuan kanak-kanak kurang upaya seperti Program Intervensi Awal, Program Transisi, Program Intervensi Bersasar (TIP) dan Model Program Komunikasi.

Sementara itu, Taarana nekad dengan usaha menawarkan sokongan dan peluang komprehensif untuk para pelajarnya melalui dua inisiatif baru yang akan diperkenalkan kelak. ‘Zero Waste @ Taarana’ mendidik para pelajar tentang proses kitar semula dan memupuk kesedaran alam sekitar yang lebih luas melalui aktiviti praktikal dan projek seni, dan tanggungjawab ekologi.

‘Kafe Taarana,’ sebahagian daripada program EmpowerMe, akan menjalankan aktiviti kedai makan berasaskan sekolah di mana pelajar pra-vokasional akan mempelajari tentang penyediaan makanan, perkhidmatan pelanggan dan kerja berpasukan untuk potensi pekerjaan pada masa hadapan.

“Inisiatif ini melambangkan komitmen Taarana terhadap pendidikan holistik, di mana pelajar belajar menjadi warganegara yang bertanggungjawab sambil memperoleh kemahiran vokasional yang berharga,” jelas Dr Sunitha.

Leave a Reply